malaysia

Rakyat Malaysia daripada generasi lama dan baharu mewakili beberapa kumpulan masyarakat berpeluang berinteraksi dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam suasana santai pada satu sesi yang dinamakan “Negaraku Merdeka Bersama Perdana Menteri”, di sini baru-baru ini.

“Hari ini saya memilih untuk melakukan kelainan, di mana perutusan dan mesej hari merdeka saya ingin sampaikan dalam suasana lebih santai, tidak formal, lebih mesra,” kata Perdana Menteri membuka bicara pada sesi itu.

Kumpulan rakyat Malaysia itu adalah undangan khas ke acara rakaman majlis penyampaian Perutusan dan Amanat Merdeka oleh Perdana Menteri, yang julung-julung kalinya diadakan secara sesi townhall dan disiarkan oleh semua stesen televisyen tempatan pada pukul 11 pagi ini.

Mereka termasuklah pelajar sekolah, ahli akademik, pekerja professional, atlet Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, anggota pasukan keselamatan serta dua orang bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menurunkan bendera Union Jack British dan menaikkan serta mengibarkan bendera Persekutuan Tanah Melayu buat pertama kalinya pada 31 Ogos, 1957.

Pada tahun-tahun sebelum ini, Perutusan dan Amanat Merdeka oleh Perdana Menteri disampaikan di tempat yang lebih formal.

Sesi townhall itu dimulakan dengan paparan video yang mengimbau kembali peristiwa kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 diikuti dengan kronologi kemajuan yang telah dikecapi negara.

Sebelum memulakan sesi itu Najib yang segak berpakaian kemeja berwarna merah hati dan seluar berwarna coklat disambut dengan mini koir kanak-kanak untuk menyanyikan lagu Negaraku disertai para hadirin.

Ditemani Jalur Gemilang dan bendera negeri-negeri di seluruh negara, nyanyian itu ternyata menyemarakkan semangat patriotisme sempena Hari Kebangsaan, yang disambut pada hari ini.

Usai nyanyian itu, Perdana Menteri mengimbas kembali kenangan beliau sewaktu negara melalui hari pertama kemerdekaan, yang pada ketika itu beliau baru berumur empat tahun dan penuh dengan dunia permainan seperti kanak-kanak lain.

“Walaupun saya ini tergolong dalam kategori pra-merdeka, tapi terus terang, apabila negara kita mendapat kemerdekaan, saya berumur empat tahun sahaja. Tentu saya tidak ada ingatan di atas peristiwa yang sangat bermakna kepada kita semua.

“Namun saya dapat menceritakan, pengalaman saya, ingatan saya masih terpahat dalam minda saya adalah, sewaktu saya membesar di Federal Hill KL, di situlah saya masih ingat lagi, saya berbasikal, turun naik bukit dan sebagainya, saya ke sekolah, main bunga api, panjat pokok jambu, seperti mana anak muda buat.

“Saya lahir, membesar sama seperti anak-anak Malaysia,” katanya disusuli tepukan hadirin.

Sejurus itu Najib diajukan soalan oleh seorang pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chong Hwa Gombak, Samuel Chau Jun Hao yang ingin tahu cabaran menjadi Perdana Menteri untuk semua rakyat  Malaysia.

Sambil mengakui bahawa bukan mudah menjadi Perdana Menteri dalam sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya, Najib bagaimanapun berbangga kerana rakyat negara ini dapat hidup dalam keadaaan harmoni dengan menghormati semangat Perlembagaan dan Rukunegara.

“Susah Samuel. Tengok rambut saya,” kata Najib sambil mengusap rambutnya disertai tawa hadirin.

Najib kemudian menjelaskan, “kadang-kadang kehendak mereka itu bertembung antara satu sama lain, namun saya bersyukur bahawa kita telah dapat membentuk sebuah negara Malaysia,” katanya. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here