DALAM satu klip video yang tular sejak tiga hari lalu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat telah melabelkan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai ‘perompak’ dan ‘pencuri’.

Ucapan itu dibuat Muhyiddin dalam satu sesi forum bersama masyarakat Cina di sebuah kedai kopi di Muar, Johor bagi menyelar tindakan PAS yang kini dilihat berbaik dan semakin mesra dengan UMNO pimpinan Najib.

Sehari sebelum itu, Muhyiddin juga mengumpamakan perjuangan Pakatan Harapan (PH) menentang kerajaan yang dipimpin BN ibarat perjuangan ‘muhajirin’ melawan puak ‘jahiliyyah’ sewaktu zaman Nabi Muhammad SAW. Ini, kata Muhyiddin, adalah kerana pentadbiran BN telah membawa banyak kerosakan kepada negara.

Jauh sungguh beliau tersasar kali ini. Nampaknya bekas timbalan perdana menteri itu juga sudah terkena sindrom ‘mudah lupa’.

Muhyiddin Terlupa Mencermin Diri

Tuduhan yang dilemparkan Muhyiddin terhadap Najib dan BN itu bagaikan meludah ke langit, jatuh ke muka sendiri. Atau dalam kata lain, satu jari mengarah ke orang lain, empat jari lain mengarah ke diri sendiri.

Apakah Muhyiddin sudah lupa bagaimana dia menghabiskan masa berpuluh tahun menjadi ahli dan berjuang dalam sebuah parti yang dituduhnya sebagai ‘perompak’ dan dilabelnya sebagai ‘jahiliyyah’? Perjalanan politik dalam parti tersebut membolehkan beliau mengumpul harta, kekayaan dan jawatan sehingga akhirnya dipilih menjadi orang nombor dua dalam BN dan kerajaan.

Tentunya, menduduki antara jawatan paling tinggi dalam parti dan kerajaan itu membolehkan beliau menikmati pelbagai kelebihan dan keistimewaan. Kalau pun benar UMNO dan BN itu ‘perompak’, maka secara logiknya kita persoalkan takkan lah baru sekarang mereka ‘merompak’?

Dan persoalan lain yang terus timbul, mengapa Muhyiddin langsung tidak berbuat apa-apa sepanjang keberadaannya selama berpuluh tahun dalam parti itu? Mengapa baru sekarang?

Dari satu perspektif, tindakan Muhyiddin menuduh Najib, UMNO dan BN sebagai kumpulan ‘perompak’ sebenarnya hanyalah satu bentuk ‘diversion of politics’ bagi mengalihkan tumpuan rakyat daripada isu ketidaksefahaman antara parti komponen PH dan kecelaruan yang mereka alami dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) kelak.

Tempoh Muhyiddin berada dalam UMNO dan BN bukanlah sekejap. Ianya sangat lama. Maka secara rasionalnya, tindakan melabelkan UMNO dan BN sebagai ‘pencuri’ dan ‘perompak’ samalah juga seperti melabelkan dirinya sendiri sebagai antara ‘bapa segala perompak’ memandangkan beliau merupakan ‘orang lama’ yang pernah bersama-sama kumpulan ini.

Begitu mudah Muhyiddin melupakan perjuangan yang dianggapnya jihad sebelum ini. Tidak lah sukar untuk kita faham ucapannya kali ini hanyalah lahir daripada kemarahan yang tidak bertepi lantaran disingkir daripada jawatan dan kedudukan yang dinikmati.

Sebelum ini, pangkat dan kedudukan itu membuatkan beliau dipandang mulia. Ke mana pun pergi tentu ramai yang mengikut setia. Hari ini ceritanya pula berbeza. Dengan pangkat dan kedudukan yang semacam sudah tiada, ‘penghormatan’ sebelum ini entah tertinggal di mana. Muhyiddin kini seolah-olah hilang segalanya.

Maka, logiklah untuk kita hadam dan faham mengapa sampai begitu marahnya. Cita-cita politiknya untuk melihat bekas ketuanya jatuh nampaknya semakin lama semakin pudar. Bekas ketuanya itu pula semakin lama semakin popular.

Muhajirin vs Jahiliyyah

Ketika parti yang baharu sahaja diasaskannya mula mencari rentak melalui sokongan Melayu, PAS selaku parti Melayu Islam terbesar pembangkang pula lari meninggalkan pakatan itu. Lantas dihentamnya pula parti Islam itu kerana dilihat mula berbaik-baik dengan bekas ketuanya.

Entah bagaimana Muhyiddin berani menyamakan perjuangan PH sebagai golongan ‘muhajirin’ pun kita tidak faham. Muhajirin dalam erti kata yang sebenar tidak mengamalkan politik kotor dan pendirian mereka juga jelas mengenai apa yang halal dan apa yang haram. Agama bukan bahan untuk dikompromi.

‘Muhajirin’ daripada perspektif Muhyiddin sangatlah ganjil. Bagaimana mungkin ‘muhajirin’ itu terdiri daripada mereka yang berpakat dengan golongan yang menentang dan memperkecilkan agenda Melayu Islam di negara ini? Dan bagaimana pula mungkin golongan ‘muhajirin’ ini boleh membiarkan kelompok mereka ditembusi pendokong-pendokong fahaman liberal dengan amalan-amalan ‘jahiliyyah’ seperti LGBT?

Nampaknya Muhyiddin juga perlu melihat semula siapa sebenarnya ‘muhajirin’ dan siapa pula yang sebenarnya ‘jahiliyyah’ dalam konteks ini. Beliau sememangnya tampak begitu keliru.

Begitulah nasib seorang bekas timbalan perdana menteri yang bernama Muhyiddin Yassin. Akibat marah dan dendam yang dilihat lebih bersifat peribadi, perbuatannya memburukkan orang lain akhirnya melondehkan seluar sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here