Kurangkan Kuota Pemain Import Malaysia

SHAH ALAM: Cadangan pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada supaya kuota pemain import setiap pasukan yang bertanding dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dikurangkan daripada 3+1 kepada 2+1 harus dikaji terlebih dulu sebelum ia boleh dilaksanakan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan, idea itu sememangnya cukup bernas, namun dalam masa yang sama kualiti dan tahap Liga-M juga perlu diutamakan mengikut standard yang digariskan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

“Biarlah FMLLP (Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia) dan staf mereka fikirkan setiap kali hujung tahun mengenai hal itu.

“Tetapi kalau kita kurangkan pemain (import) dalam saingan liga tempatan, seolah-olah akan merendahkan kualiti liga kita, sekali gus tidak mendapat pengiktirafan AFC,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad futsal wanita negara di Kompleks Sukan Panasonic, di sini, hari ini.

Nelo Vingada

Vingada yang dilantik menggantikan Datuk Ong Kim Swee pada Mei lalu mencadangkan kuota 3+1 pemain import dikurangkan kepada 2+1 manakala sekurang-kurangnya lima pemain bawah 23 tahun diwajibkan beraksi dalam setiap pasukan pada setiap perlawanan.

Cadangan ‘The Profesor’ itu bertujuan memastikan lebih ramai pemain tempatan khususnya pemain muda dapat beraksi dalam perlawanan kompetitif selepas pemain import khususnya penyerang mendominasi posisi itu.

Bagaimanapun, Vingada tidak mahu polisi pemain dalam Liga Super berubah. Angka 3+1 itu merujuk kepada empat pemain import dalam sesuatu pasukan dengan seorang daripadanya mesti pemain Asia.

“Katalah kalau kita kurangkan pemain di Liga Perdana, ia akan memberi kelebihan kepada pasukan Liga Super apabila mereka bertembung dalam dua kejohanan iaitu Piala FA dan Piala Malaysia.

“Cadangan itu perlu kajian terperinci dengan keputusannya perlu membawa kepada keputusan menang-menang,” kata Hamidin.

  • Berita Harian Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here