Penglibatan wanita dalam dunia politik tanah air bukanlah suatu perkara yang baru dan terasing. Sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan lagi, pertubuhan seperti Angkatan Wanita Sedar atau AWAS ditubuhkan bagi mengetengahkan pemimpin wanita tempatan yang memperjuangkan hak dan isu wanita.

“Women belong in all places where decisions are being made. It shouldn’t be that women are the exception.” – Ruth Bader Ginsburg

Pertubuhan seperti ini juga menjadi batu loncatan kepada pemimpin wanita untuk diangkat menjadi pemimpin masyarakat.

Pengasas dan pelopor seperti Shamsiah Fakeh, Tan Sri Aishah Abd Ghani dan Datin Sakinah Junid bermula dengan berpegang kepada prinsip perjuangan membebaskan tanahair dari penjajah.

Kehebatan nama-nama seperti Ibu Tien, Kartini, Sirimavo Bandaranaike yang menjadi inspirasi serta contoh di sekeliling mereka menambah api semarak perjuangan wanita tanahair.

Tokoh-tokoh wanita ini kemudiannya menjadi pelopor penglibatan wanita dalam pilihan raya.

Selain itu, sejarah juga membuktikan bahawa wanita merupakan antara tunjang utama dalam setiap perjalanan pilihan raya.

Wanita merupakan jentera yang sangat penting dalam memastikan kemenangan sesebuah parti politik dalam pilihan raya. Lihat sahaja bagaimana pengaruh Ibu Zain dan Tun Fatimah Hashim dalam mengerakkan jentera pilihan raya di seluruh pelusuk tanahair.

Pembuat keputusan

Zaman berubah dan wanita kini bukan lagi hanya menjadi jentera dalam setiap pilihan raya tetapi sudah melangkah lebih jauh dari itu. Wanita hari ini mampu memainkan peranan sebagai pembuat keputusan oleh kerana kredibiliti, keyakinan dan tahap ilmu yang lebih tinggi.

Lonjakan ini adalah hasil pemberdayaan wanita menjadikan mereka lebih tangkas dan cekap dalam bidang yang diceburi serta menjadi aset kepada pembinaan modal insan dan pembentukan masyarakat lestari.

wanitaMartabat wanita tidak lagi dipandang enteng dan telah diangkat tinggi. Oleh yang demikian, isu-isu berkaitan wanita semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Masyarakat sudah tidak lagi memandang isu wanita itu sebagai isu yang remeh. Semakin ramai penggerak dan aktivis wanita yang mula menonjolkan diri bagi mengangkat institusi wanita.

Hasilnya, dasar-dasar wanita menjadi asas kepada rang undang-undang yang dibentangkan di parlimen walaupun banyak penambahbaikan masih diperlukan.

Peningkatan ini dapat juga dilihat dari representasi wanita dalam sistem demokrasi Malaysia. Semakin ramai tokoh wanita yang diangkat menjadi pemimpin mewakili masyarakat setempat.

Ini menjadi obor pembakar semangat buat wanita yang mengimpikan masa depan sebagai pemimpin yang mampu melakukan perubahan kepada individu dan masyarakat sekeliling.

Peluang bertanding pilihan raya

Namun begitu, Malaysia masih belum mencapai kuota 30 peratus representasi wanita sama ada di parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri, walaupun angka dan peratusan ini meningkat setiap pilihan raya.

wanitaSelepas Pilihan Raya Umum ke-13 dan beberapa pilihan raya kecil, representasi anggota Dewan Rakyat wanita hanya seramai 23 orang atau 10.36 peratus daripada 222 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Ini cukup membuktikan bahawa Malaysia masih lagi jauh untuk mencapai kuota 30 peratus minima representasi wanita.

Saban hari, lebih ramai tokoh dan pimpinan wanita yang menyuarakan hasrat untuk meletakkan lebih ramai lagi wanita untuk mewakili suara kumpulan minoriti ini.

Harus disokong lelaki

Kempen seperti ini tidak hanya boleh diterajui oleh kaum wanita, tetapi haruslah disokong dan dibawa oleh pimpinan lelaki bagi membuktikan bahawa kesaksamaan gender juga diangkat oleh segenap suara.

wanitaLebih ramai lagi wanita harus diberi peluang untuk bertanding dalam pilihan raya dan seterusnya menerajui kepimpinan negara bagi menunjukkan Malaysia ini sebuah negara demokratik dalam memberi peluang kepada semua.

Wanita juga tidak harus dihadkan dengan usia minima untuk berpolitik mahupun bertanding dalam pilihan raya. Usia tidak harus menjadi kayu ukur dalam mengukur kredibiliti wanita dalam memimpin.

Wanita tidak kira usia perlu dilihat dari segi intelektualiti, kebolehan dalam memimpin dan semangat dan usaha dalam memperjuangkan isu dan hak wanita agar terus dibela.

Wanita muda yang mempunyai minat dalam politik harus diberikan ruang dan peluang tanpa diskriminasi untuk melakar sejarah dalam memastikan martabat wanita diangkat lebih tinggi. Wanita adalah tonggak dan aset negara yang harus diberi keutamaan dan pengiktirafan. – Malaysiakini


NURAINIE HAZIQAH SHAFI’I adalah Ketua Srikandi PKR Selangor.

Rencana ini adalah pendapat peribadi penulis

 

 

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here