Temple_of_Baal_Shamin_Palmyra_Syria

DAMSYIK – Kumpulan militan Islamic State (IS) semalam meletupkan kuil purba Baal Shamin di kota Palmyra yang tersenarai sebagai Tapak Warisan UNESCO, kata pihak berkuasa.

Serangan itu adalah yang terbaharu dalam siri pemusnahan peninggalan tapak ketamadunan dunia oleh IS.

Terkenal dengan runtuhan era Greek-Roman yang terpelihara dengan baik, Palmyra dirampas daripada tentera Syria pada Mei lalu. Kejatuhan Palmyra mencetuskan kebimbangan IS akan memusnahkan warisan budaya tidak ternilai di kota itu seperti yang dilakukan di tempat-tempat lain di Syria dan Iraq.

“IS meletakkan sejumlah besar bahan letupan di dalam kuil Baal Shamin hari ini (semalam) dan meletupkannya sehingga menyebabkan banyak kerosakan pada kuil berkenaan,” kata ketua antikuiti Syria, Maamoun Abdulkarim.

“Cella yang merupakan ruang dalaman kuil musnah, manakala tiang-tiang di sekitarnya runtuh,” katanya.

Kumpulan Pemerhati Syria untuk Hak Asasi Manusia yang beribu pejabat di Britain dan memantau perang saudara di Syria mengesahkan kemusnahan kuil tersebut.

Baal Shamin dibina pada tahun 17 Masihi (M) dan berkembang di bawah pemerintahan Maharaja Rom, Hadrian pada 130M. -AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here