Negara-negara antarabangsa termasuklah pemerintah kuasa besar dunia, Parti Komunis China (CPC) menyampaikan ucapan tahniah atas Perhimpunan Agung UMNO 2017 dan kecemerlangannya dalam memastikan parti kekal kukuh menerajui pembangunan serta kemajuan negara ini.

Kawat tahniah tersebut telah disampaikan melalui kunjungan hormat kepada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor oleh delegasi CPC seramai tujuh orang yang diketuai oleh Jia Gaojian selaku Ketua Biro Terjemahan CPC dengan harapan UMNO terus teguh sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan kepentingan bangsa dan negara.

“CPC mengharapkan agar UMNO akan kekal sebagai parti yang menjadi tulang belakang kerajaan dan terus berusaha memastikan kesinambungan kedaulatan, kebebasan dan perpaduan di Malaysia,” katanya.

Jelasnya, CPC mengagumi perjuangan UMNO dan amat berbangga dengan adanya hubungan akrab yang terjalin antara kedua-dua parti.

Hubungan akrab antara UMNO dan CPC bermula dengan kunjungan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein ke China bertemu dengan Mao Tse Dong pada tahun 1974 dan berlanjutan sehingga kini dengan lebih akrab selepas perjanjian persefahaman pada tahun 2010.

Kejayaan UMNO sebagai sebuah parti politik yang konsisten dan cemerlang sejak ditubuhkan 71 tahun lalu turut diakui oleh Fatah dan Hamas dari Palestin yang turut mengadakan kunjungan hormat secara berasingan kepada Tengku Adnan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

“Kejayaan yang dilakukan oleh UMNO adalah pencapaian sejagat kerana ia memberi kesan besar dalam usaha menggalakkan keamanan dan pembangunan bersama untuk masyarakat global khususnya dunia Islam,” kata Majed A.R Alfetyani yang mewakili delegasi Fatah.

Hal ini turut diakui oleh delegasi Hamas yang diketuai oleh Ketua Diaspora Hamas, Dr. Maher Salah dengan menganggap Malasia adalah suara negara Islam di peringkat antarabangsa.

“Dalam keadaan negara-negara Islam sedang bergolak, Malaysia tampil dengan semangat kesederhanaan, menghormati antara satu sama lain tetapi mempunyai pendirian yang tegas dalam hak kemanusiaan sejagat,” katanya.

Sebelum itu, Tengku Adnan turut menerima kunjungan dari Parti Komunis Vietnam, AK Parti, Turki; Parti Bharatiya Janata, India dan Parti Nur Otan, Kazakhstan.
Kehadiran parti-parti politik asing di Ibu Negara adalah sebagai tetamu UMNO bagi mengikuti Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang berlangsung di sini bermula 5 – 9 Disember.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here