Kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap projek usahasama China-Malaysia, Forest City bertujuan membalas dendam tindakan kerajaan Johor menolak cadangannya membina jambatan bengkok, kata Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Manap.

“Jadi, tukang kritik ini memang cara Tun. Mengkritik projek Forest City dilihat seperti membalas dendam lama apabila kerajaan Johor menolak cadangan projek jambatan bengkok yang pernah dicadangkan beliau suatu ketika dahulu.

“Tun juga ketandusan isu untuk mencari kelemahan kerajaan Johor kerana pembangkang sudah nampak pimpinan BN Johor semakin baik dan bersiap sedia menghadapi pilihan raya sekaligus berjaya menangkis tohmahan yang dibangkitkan pihak lain,” katanya kepada FMT.

Pemimpin Umno Johor itu menjawab kritikan Dr Mahathir yang mendakwa projek Forest City di Johor ialah tindakan menjual tanah kepada orang asing dan hasilnya digunakan untuk membayar hutang.

“Habislah tanah kita akan dijual, tidak kiralah Forest City, saya harap Forest City akan betul-betul jadi ‘forest’ (hutan)…penduduknya akan terdiri daripada kera, monyet dan sebagainya,” katanya pada Perhimpunan Agung PPBM yang pertama, Sabtu lalu.

“Kita sepatutnya sedar bahawa kalau kita jual tanah kepada orang, kita sudah tidak miliki lagi tanah itu. Pada suatu ketika dahulu, dijualnya Pulau Temasik yang sekarang dikenali sebagai Singapura. Kita jual tanah kepada British…dapat 60 ribu ringgit…sekarang bukan negara kita dah.”

Mengulas lanjut, Anuar berkata, projek yang dibangunkan pada era pentadbiran Dr Mahathir yang dipenuhi hutan dan “monyet”, bukannya Forest City.

Katanya, bekas perdana menteri itu mengaitkan Forest City dengan monyet mungkin disebabkan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu teringat kegagalan projek yang dibangunkan pada era beliau memimpin negara sehingga menjadi hutan belantara dipenuhi binatang buas.

“Tun nak tengok kita (pemimpin Umno Johor) melatah, monyet ini bukan di hutan sahaja, sekarang di kawasan taman pun dah banyak aduan berkaitan monyet, agaknya Tun pernah mendapat aduan sama, sebab itu dia teringat kisah monyet dan hutan bandarnya.”

Beliau tidak menolak kemungkinan Forest City mampu menjadi mercu pembangunan, bukan sahaja untuk rakyat Johor, tetapi juga Malaysia sepertimana Putrajaya.

“Soal memajukan negeri ini dan kemakmurannya pula bukan hanya untuk bangsa Johor, tetapi dikongsi juga dengan serata rakyat Malaysia. Putrajaya adalah contoh terbaik pembangunan dan prasarana, terutama bila melibatkan urusan berkaitan kerajaan. Contoh yang sama juga di Nusajaya.”

Anuar juga yakin rakyat Johor akan terus setia menyokong BN kerana muak dengan tuduhan tidak masuk akal pembangkang.-FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here