PENGASAS bersama pergerakan Sisters In Islam (SIS), Marina Mahathir semalam menyalahkan Arab Saudi atas proses Arabisasi yang sedang berleluasa dan begitu mendapat tempat di Malaysia. Kata Marina yang juga anak bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, fenomena Arabisasi ini telah menghakis budaya Melayu secara perlahan-lahan, malah mungkin telah menghilangkan sebahagiannya ekoran budaya Timur Tengah yang menjadi ikutan pada hari ini.

Dalam isu ini, kita percaya Marina merujuk kepada banyak perkara. Lihat sahaja kepada jumlah lelaki Muslim di Malaysia hari ini yang lebih gemar berjubah sewaktu berkunjung ke masjid ataupun ketika mereka menyambut perayaan ‘Aidilfitri dan ‘Aidiladha. Begitulah juga dengan kaum Hawa yang semakin ramai lebih selesa mengenakan jubah ataupun abaya pada waktu yang sama. Pakaian kebudayaan Arab yang dipakai ini akhirnya sedikit sebanyak menenggelamkan pemakaian baju Melayu dalam kalangan lelaki dan juga baju kurung ataupun kebaya dalam kalangan wanita Muslim di Malaysia.

’Arabisasi’ Dalam Sistem Negara

Fenomena Arabisasi yang dimaksudkan Marina tentulah tidak sekadar terhenti di situ sahaja. Marina turut mensasarkan aspek perundangan dan pentadbiran negara yang dilihatnya turut tidak terlepas daripada pengaruh dan penyusupan unsur Arabisasi dan elemen Islam yang padanya dilihat konservatif. Marina menyuarakan bagaimana keterbukaan kerajaan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) 355 mengenai pemerkasaan bidang kuasa mahkamah Shariah di Malaysia sebagai satu pertentangan terhadap prinsip kesederhanaan kerajaan dalam menolak kefahaman Islam yang ‘ekstrim’.

Begitulah juga dalam aspek pentadbiran negara. Marina memerhatikan bagaimana pengaruh yang dibawa oleh Arab Saudi telah membuatkan kerajaan bersetuju untuk membina dan menubuhkan institut anti-keganasan tajaan negara itu di Malaysia. Penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (King Salman’s Center For International Peace – KSCIP) di Putrajaya adalah salah satu manifestasi yang, menurut Marina, menunjukkan usaha Arab Saudi melebarkan pengaruhnya dalam kalangan negara-negara Islam melalui Liga Dunia Islam (Muslim World League – MWL).

Arab Tak Semestinya Islam

Itu pandangan Marina. Itulah juga pandangan SIS yang diwakilinya. Dan kita semua juga tahu bagaimana SIS itu sendiri tidaklah begitu Islamik seperti yang ada dan tertera pada namanya. Justeru, kerisauan beliau mengenai pengaruh elemen Arab dalam masyarakat Melayu khususnya tidaklah patut menjadi isu besar. Masyarakat Melayu yang sebahagiannya memilih untuk berasimilasi dengan unsur budaya Arab tidak sedikit pun mengurangkan nilai jati diri bangsa, apatah lagi nilai Islam yang ada dalam diri mereka. Jadi, pandangan Marina yang menyifatkan “menjadi lebih Arab bermakna menjadi Muslim yang lebih baik” adalah tidak tepat dan tersasar.

Dan apakah pula tujuan sebenar Marina menyifatkan RUU 355 sebagai satu bentuk pengaruh Arab dalam politik Malaysia? Ianya tidak ada kena mengena sama sekali. Marina dan SIS jelas gagal membezakan unsur Islam dengan unsur Arab. Arab tidak semestinya Islam. Samalah situasinya dengan Melayu di Malaysia yang tidak semestinya Islam. Lihat sahaja bagaimana sesetengah adat Melayu yang lama dipertahankan juga ada sebahagiannya bertentangan dengan Islam. Dengan mensasarkan RUU 355 dalam hal ini, Marina sebenarnya bukanlah menyerang proses Arabisasi yang dimaksudkan, tetapi beliau telah pergi lebih jauh dengan menghentam agenda pemerkasaan institusi Islam yang berfungsi untuk melindungi wanita sepertinya juga. Keadaan ini tidaklah mengejutkan kerana semua orang tahu Marina dan SIS sendiri mewakili kelompok Muslim yang liberal fahamannya.

Persoalan mengenai kewujudan KSCIP di Putrajaya juga tidak perlu dibangkitkan. Isu memerangi keganasan tidak lagi bersifat regional di dunia Arab semata-mata, malah ianya adalah satu objektif universal yang sudah merentasi sempadan wilayah. Tertubuhnya KSCIP di Malaysia adalah satu pengiktirafan terhadap kejayaan negara ini sebagai teladan dan contoh dalam usaha anti-keganasan dalam dunia Islam. Biarpun negara ini saiznya begitu kecil, kecekapan kerajaan dan pihak berkuasa dalam mengesan dan menangani ancaman-ancaman keganasan khususnya di rantau ini begitu dipuji. Atas faktor itu, maka kita katakan soal penubuhan KSCIP sebagai satu pengaruh Arab Saudi di Malaysia adalah tidak wujud sama sekali kerana pada hakikatnya, kita juga menghoskan pelbagai institusi milik entiti asing yang lain di negara ini.

SIS Dan Pemahaman Songsang Tentang Islam

Sebelum menghentam fenomena Arabisasi dan Arab Saudi dalam hal ini, eloklah sekiranya Marina merenung semula kepada agenda yang dibawa beliau dan pertubuhan yang sama-sama diasaskannya sendiri. Pembawaan Marina sebenarnya mencerminkan kefahaman yang sekian lama diterapkan dalam keluarganya juga, khususnya oleh bapanya Tun Mahathir. Baharu sahaja kelmarin ibunya Tun Dr. Siti Hasmah mendedahkan bagaimana Tun Mahathir tidak suka beliau bertudung walaupun setelah pulang mengerjakan ibadah umrah dan haji. Kata Tun Siti Hasmah, keputusan beliau untuk tidak bertudung adalah demi mentaati perintah suami. Demikian songsangnya fahaman Mahathirisme tentang Islam sedangkan prinsip dalam agama suci itu sendiri sudah jelas: tiada ketaatan kepada sesiapa pun dalam perlanggaran terhadap perintah agama.

Kita juga tidak pula mendengar Marina, SIS dan pertubuhan-pertubuhan seangkatan dengannya bangkit mempertahankan hak wanita Islam dalam isu larangan bertudung di sesetengah hotel baru-baru ini. Bukankah SIS sendiri adalah pertubuhan wanita yang sekian lama feminis? Mengapa senyap seribu bahasa ketika pelbagai pihak lain mempertahankan golongan wanita itu? Jelaslah, feminisme Marina dan SIS sendiri adalah fahaman terpilih, dan mereka juga nampaknya memilih-milih dalam soal mempertahankan hak wanita sendiri. Jika tidak, Marina dan SIS sendiri sudah tentu bersuara apabila hak Tun Siti Hasmah untuk bertudung ‘disekat’ Tun Mahathir.

Arabisasi vs Sekularisme

Jika pun benar Marina begitu risaukan pengaruh dan elemen budaya Malaysia yang semakin hilang, maka beliau juga sepatutnya bercakap mengenai budaya Barat yang telah bertahun-tahun menghakis adat ketimuran kita. Bercakaplah mengenai seriusnya ancaman gejala sosial yang semakin membarah dalam masyarakat seperti seks bebas, fenomena LGBT, pesta arak dan sebagainya. Bercakaplah juga mengenai pemakaian menjolok mata yang jelas terlihat dalam pelbagai sektor pekerjaan. Bukankah kesemua gejala ini telah lama menghakis identiti Melayu dalam masyarakat kita terutamanya generasi muda?

Marina dan SIS nampaknya tidak peduli tentang semua itu. Agenda yang dibawa mereka agenda liberal dan sekular. Pemahaman yang dibawa mereka hanya mengehadkan agama dalam kehidupan individu, sekaligus mengiktiraf kebebasan mutlak dalam cara hidup yang dipilih masyarakat Islam biarpun ianya bertentangan dengan ajaran agama. Justeru, sebelum bercakap mengenai ancaman pengaruh Arab, maka Marina perlu berfikir dan merenung kembali, antara pengaruh Arab dengan pengaruh Barat, yang manakah yang lebih membinasakan masyarakat dan identiti rakyat?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here