ANKARA 6 Sept. – Bank Pusat China yakin ketidaktentuan pasaran saham negara tersebut kini semakin hampir ke penghujungnya.

Ketua Pengarah Bahagian Antarabangsa Bank Pusat China, Zhu Jun berkata, kerajaan China turut campur tangan bagi menghalang kejatuhan pasaran saham walaupun pelarasan kini adalah normal.

“Kami yakin ianya akan berakhir tidak lama lagi. Sedikit sebanyak kebimbangan terhadap pasaran semakin menurun dan kami menjangkakan tidak akan ada lagi risiko sistemik,” katanya dalam satu temu bual di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor-Gabenor Bank Pusat G20 di sini. Indeks Komposit Shanghai jatuh 39 peratus sejak 12 Jun lalu dan keputusan mengejut China untuk menilai semula mata wang yuan bagi membendung kegawatan pasaran turut mencetuskan penurunan pertukaran kadar mata wang di pasaran negara-negara lain serta membawa kebimbangan ia akan menjejaskan negara-negara pengeksport ke China .

Dalam pada itu, negara-negara terlibat dalam mesyuarat G20 itu menerima penjelasan daripada delegasi China yang menerangkan langkah menilai semula yuan bukanlah satu usaha untuk merebut eksport daripada pesaing antarabangsa.

“Kami rasa ia agak hampir ke tahap keseimbangan dan kami fikir tekanan akan dapat dikurangkan dan sentimen pasaran akan bertambah baik pada masa-masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, di Beijing, Menteri Kewangan China, Lou Jiwei berkata, pasaran kewangan China dijangka kekal stabil dengan renminbi tidak akan mengalami penurunan nilai dalam jangka masa yang panjang dan perbelanjaan fiskal akan berkembang lebih cepat daripada yang dijangkakan tahun ini.

“Perbelanjaan kerajaan pusat akan meningkat 10 peratus tahun ini, lebih daripada pertumbuhan 7 peratus yang dianggarkan pada awal tahun dan China akan meningkatkan bayaran dividen daripada syarikat milik negara yang ditetapkan untuk membaik pulih semula kekurangan sebelum ini,” katanya.

Gabenor Bank Pusat China, Zhou Xiaochuan berkata, ekonomi China kini bergerak perlahan dalam tempoh 25 tahun dan sahamnya turun sebanyak 40 peratus sejak pertengahan Jun lalu menyaksikan pasaran kewangan global turut menerima tempias.

Xiaochuan berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China dijangka kekal pada tahap tujuh peratus seperti yang diunjurkan pada awal tahun dan untuk tempoh empat ke lima tahun (akan datang).

“China kini tidak boleh bergantung kepada dasar-dasar bagi mencapai pertumbuhan sembilan hingga 10 peratus kerana ia mungkin sudah boleh mengambil masa beberapa tahun untuk memproses kapasiti dan inventori industri yang berlebihan,” katanya.

Bagaimanapun ujarnya, China akan mengalami waktu yang sukar untuk tempoh lima tahun akan datang bagi melengkapkan pembaharuan struktur ekonominya menjelang 2020.

Sumber: UTUSAN & REUTERS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here