kos sara hidup rakyat

KENYATAAN mengenai kos sara hidup Malaysia paling rendah di ASEAN sebenarnya tidak membawa sebarang erti selagi rakyat negara ini terus terbeban dengan kenaikan harga mendadak pelbagai barangan dan perkhidmatan.

Ia merujuk kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini berkata, kos sara hidup di Malaysia adalah yang terendah dalam kalangan negara ASEAN mengikut kaji selidik kos sara hidup di seluruh dunia 2017 oleh Economist Intelligence Unit.

Najib menjelaskan, ia hasil daripada pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat di negara ini.

Kaji selidik oleh Economist Intelligence Unit itu membandingkan harga barang dan perkhidmatan di 133 bandar raya seluruh dunia.

Adakah usaha kerajaan meringankan bebanan kos sara hidup sudah selesai?

Adakah rakyat negara ini kini tidak lagi terbeban akibat kenaikan harga barangan dan pekhidmatan yang berlaku?

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) menjangkakan kos sara hidup pada tahun 2017 meningkat berikutan beberapa isu peningkatan harga barangan.

Selain isu peningkatan harga barangan, nilai mata wang negara yang rendah juga akan memberi kesan kepada rakyat.

Tidak salah sebenarnya kerajaan berkongsi mengenai kejayaan dicapai negara tetapi jangan lupa kepada kesengsaraan dialami rakyat.

Perdana Menteri di dalam blognya turut berkongsi beberapa kejayaan negara meliputi pelbagai bidang seperti ekonomi, pelaburan asing, pembangunan, kualiti hidup, pendidikan dan banyak lagi.

Antaranya, agensi antarabangsa PricewaterHouseCoopers yang telah meletakkan Malaysia pada tangga ke-25 kuasa besar ekonomi dunia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak USD 1.5 trilion menjelang tahun 2030.

Bank Dunia turut mengiktiraf ekonomi Malaysia dengan memberi semakan semula unjuran pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi bagi tahun 2017 yakni pada 4.9 peratus.

Malah, unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2018 dan 2019 itu turut diberi semakan semula lebih tinggi iaitu 4.9 peratus dan 5.0 peratus, iaitu peningkatan sebanyak 0.4 peratus dan 0.5 peratus masing-masing.

Baru-baru ini juga, laporan Bloomberg meletakkan Ringgit Malaysia sebagai mata wang utama Asia paling stabil pada suku ini.

Memetik tajuk utama laporan Bloomberg itu, “The Ringgit Is Easily Asia’s Strongest Currency”, secara keseluruhannya ia melaporkan, prestasi ekonomi negara bagi suku pertama 2017 kekal stabil dan kukuh, ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus, dengan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat kepada RM17 bilion.

Persoalannya, adakah kos sara hidup keseluruhan rakyat di negara ini semakin stabil ekoran kestabilan dan pengukuhan ekonomi negara?

Menurut kajian Universiti Putra Malaysia (UPM), sekitar 59.7 peratus penduduk di ibu negara sebenarnya terbeban ekoran peningkatan kos sara hidup.

Laporan tersebut disiarkan dalam majalah Ringgit edisi April 2017 yang diterbitkan secara bersama oleh Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Bank Negara Malaysia.

Kajian berkenaan melibatkan seramai 1,009 isi rumah miskin bandar dan pemilihan responden kajian dilakukan menggunakan kaedah persampelan sistematik yang melibatkan lima buah kawasan perumahan awam dan rakyat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Daripada dapatan kajian, jelas menunjukkan bahawa majoriti isi rumah miskin bandar menyatakan bahawa mereka terkesan dengan beban hutang yang ditanggung dan peningkatan kos sara hidup membebankan mereka.

Majoriti responden mengaku bergantung kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai simpanan untuk persaraan manakala tiga bentuk pinjaman utama ialah sewa beli kenderaan, perumahan dan pinjaman peribadi.

Majoriti responden juga mempunyai pelbagai bentuk masalah kewangan, seperti lewat membayar bil, berada dalam keadaan murung disebabkan masalah kewangan dan tidak mempunyai perlindungan risiko.

Sebahagian besar turut tidak mempunyai tunai sekiranya berlaku kecemasan, terpaksa berhutang sebelum mendapat gaji, meminjam wang daripada ceti atau ah long serta pernah diisytiharkan muflis.

Adakah kos sara hidup rakyat negara ini semakin rendah?

Meskipun Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mampu membantu meringan beban rakyat, namun ia tidak akan dapat mengekang kenaikan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.

Tidak dinafikan BR1M mampu membantu meringankan beban rakyat namun ia juga menjadi alasan kepada peniaga untuk menaikkan harga barang.

Tidak mustahil terdapat segelintir peniaga akan menaikkan harga barang kerana mereka beranggapan rakyat di negara ini sudah menerima ‘gaji atau komisen’ daripada kerajaan.

Daripada satu sudut, BR1M memang dapat membantu lebih 7 juta penerima berpendapatan rendah namun selebihnya terkesan dengan kos sara hidup semakin tinggi.

Apa yang seharusnya dilakukan oleh kerajaan?

Kerajaan harus mencari jalan mengurangkan kos sara hidup rakyat serta mengkaji semula struktur gaji kakitangan awam dan swasta yang tidak pernah berganjak.

Kerajaan juga perlu mencari jalan mengawal kenaikan harga barangan lebih-lebih lagi jika berlaku kenaikan harga petrol dan diesel kerana peniaga mula mengambil kesempatan.

Jika harga minyak naik maka harga barangan dan perkhidmatan lain akan turut naik, sebaliknya jika harga minyak turun maka harga barangan tetap kekal dan menunggu untuk kenaikan seterusnya.

Ini sekali gus menyebabkan kos sara hidup terus meningkat dan mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah terus terbeban dengan situasi ini

Kerajaan seharusnya perlu mengawal perbelanjaan dan menumpukan usaha meringankan beban rakyat meskipun negara dilapor telah mencapai pelbagai kejayaan.

Jika rakyat secara keseluruhannya menilai diri mereka tidak lagi terbeban, itulah kejayaan sebenar dan terbesar negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here