PEMBIKINAN  filem berunsurkan sejarah atau patriotisme sememangnya menelan belanja besar.

Bagaimana pun masih ada penerbit yang berani meneruskan usaha menerbitkan filem sebegitu sebagai salah satu usaha pendidikan.

Sementelah itu, pihak Two Tones Sdn Bhd telah menerbitkan filem Kapsul yang merupakan filem cereka genre fiksyen, diilhamkan daripada kapsul masa Wawasan 2020 oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri ke-4 Malaysia

Berkongsi pembikinan filem yang bakal ditayangkan pada 17 September itu, penerbitnya, Amru Osman berkata, mereka memerlukan bajet yang tinggi dalam menghasilkan filem itu iaitu RM4Juta.

“Memang kami ada matlamat sendiri dalam menghasilkan filem ini walaupun kos penerbitannya besar.

“Oleh kerana kami mempunyai teknologi imej janaan komputer (CGI) sendiri, maka kos itu dapat kami jimatkan menjadi RM2.3 juta sahaja keseluruhannya,” katanya baru-baru ini.

Amru menjelaskan, menghasilkan filem berkaitan dengan sejarah dan fiksyen sebegitu mementingkan penggunaan CGI.

“Meskipun kosnya menelan jutaan ringgit tetapi ia bukan halangan untuk kami membikin filem ini.

“Sebaliknya, ia satu cabaran besar apabila kami berusaha menjadikan filem ini menarik di mata penonton. Kami tidak mahu persepsi penonton menganggap filem bersandarkan sejarah lambat dan membosankan.

“Tambahan kehadiran Tun M sebagai pelakon dalam filem ini pastinya memberi kelainan berbanding filem sedia ada,” katanya.

Sedikit mengenai Kapsul, ia berkisarkan sebuah kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam oleh Tun M telah dicuri dan membawa Zohri (Faizal Hussein) kembali ke zaman silam. Zohri terperangkap di tengah pergolakan bangsa Melayu untuk mencapai kemerdekaan serta membawa bangsa Melayu keluar dari kancah kemiskinan.

Dia melihat dan merasa sendiri akan erti sebuah perjuangan bangsanya yang tidak pernah dia bayangkan selama ini dan mula memahami betapa peritnya liku-liku rentetan sejarah negara dan bangsa.

Kembara Zohri berterusan dari satu era ke era seterusnya dan tiada siapa yang mampu membawa pulang ke zamannya kecuali dirinya sendiri.

Selain Faizal Hussien, filem ini turut dibintangi Zamarul Hisyam ,Datuk Rahim Razali, Irfan Khairi, Jue Aziz dan Elly Mazlein serta Tun Dr Mahathir Mohamad.

Imbau sejarah negara

Amru sebagai penerbit juga mengakui yang penerbitan filem genre sejarah kemungkinan besar tidak akan laku berbanding menerbitkan filem lain.

“Kami tahu selama ini, kebanyakan filem yang berunsurkan sejarah memang kurang mendapat sambutan hangat daripada penonton. Tidak berbaloi dengan kos pembikinan.

“Tambahan kebanyakan pengarah sekarang lebih gemar hasilkan filem aksi, komedi dan seram kerana itu yang selalu disukai penonton.

“Tetapi kerana niat saya mahu mengimbau kembali sejarah negara dan ada isi dalam filem ini, maka saya teruskan juga dengan mempersembahkannya dengan cara berbeza dan saya sanggup hadapi risikonya.

“Alhamdulillah setakat ini, segala yang dirancang dipermudahkan ALLAH termasuk kehadiran Tun M,” katanya.

Mengulas mengenai kehadiran Tun M dalam lakonan tersebut, Amru memberitahu, memang pihak mereka tidak menyangka yang impian pengarah filem tersebut, Allahyarham Martias Mohd Ali tercapai.

“Sebelum Martias meninggal, dia pernah mahukan sendiri Tun M berlakon dalam filem ini, tetapi pastinya sukar untuk melaksanakannya.

“Namun, alhamdulillah kesudian Tun M seperti satu hadiah kepada kami dan dapat melunaskan impian pengarah sendiri,” katanya.

Justeru Amru amat berharap, filem tersebut ada sambutannya sendiri kerana dia percaya segalanya dengan izin ALLAH.

“Dan saya juga berharap, masyarakat tidak mengaitkan filem tersebut dengan sebarang agenda, kerana apa kami lakukan hanya untuk mengungkap kembali sejarah.

“Saya tidak ada niat langsung membuat filem ini ada kaitan dengan sebarang perkara,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here