Para pemerhati tidak pernah gementar dengan perang mulut atau perang retorik antara Amerika Syarikat dan Korea Utara. Sebilangan pemerhati berkata, perang antara dua negara itu tidak mungkin akan berlaku. Ini bukan pertama kali kedua-dua negara kuasa nuklear itu melontar kata-kata ancaman akan menyerang antara satu sama lain.

Meskipun media di Amerika bercakap tentang imejan satelit terbaru perlihatkan aktiviti ketenteraan di Korea Utara termasuk pergerakan kapal selam yang didakwa membawa peluru berpandu balistik sebagai persiapan perang, pemerhati menyifatkan berita itu sebagai menakut-nakutkan Korea Selatan.

Tujuan Amerika tidak lain sebagai helah juru jual untuk melariskan barangannya. Dalam hal ini Amerika begitu menghendaki Korea Selatan membeli sebanyak mungkin senjata Amerika untuk menghadapi serangan jiran tetangganya, Korea Utara.

Lebih keras ancaman yang diberitakan, maka lebih bersemangat bagi Korea Selatan untuk memiliki senjata Amerika.

Laporan akhbar The Sun berkata, aktiviti ketenteraan Korea Utara yang dipantau satelit adalah di lokasi yang sama di mana ujian peluru berpandu Pakguksong-1 yang dilakukan dari atas kapal selam SLBM pada Ogos tahun lepas.

Dan banyak lagi laporan berkaitan ancaman keselamatan yang dibangkitkan Amerika terhadap kekuatan Korea Utara, seolah-olah kedua-dua negara sedang berada di ambang peperangan sebenar.

Isu gambar satelit ini muncul selepas presiden Amerika, Donald Trump, mengingatkan rejim Kim Jong-un bahawa Washington tidak akan berganjak daripada keputusan menyerang Korea Utara. Ancaman Trump itu menimbulkan kegusaran bukan sahaja di Semenanjung Korea, tetapi juga negara-negara rantau Asia.

Untuk menambah gementar Korea Selatan, beberapa negara lain turut memberi amaran kepada Amerika supaya membatalkan hasrat menyerang Korea Utara kerana khuatir akan berkembang kepada perang yang lebih besar dengan penglibatan sekutu-sekutu di kedua-dua pihak.

Ketika Korea Utara mengesahkan dirinya sebagai sebuah negara kuasa nuklear sepenuhnya, Korea Selatan tidak dibenarkan membina senjata sendiri selepas Perang Dunia Kedua, dan kerana itu Seoul bergantung pada senjata Amerika jika berlaku peperangan dengan musuh tetangganya, Korea Utara.

Di Moscow, kementerian luar Rusia mengingatkan, jika perang antara Amerika Syarikat dan Korea Utara benar-benar terjadi, ia adalah perang nuklear dan situasinya adalah bencana kepada semua.

Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova, berkata mungkin tidak ada orang mati ai Amerika tetapi di tempat lain.

Jerman dan China turut memberi amaran tentang bahaya perang nuklear jika ia benar-benar tercetus.

Amerika tidak mementingkan nyawa orang lain. Yang penting baginya adalah senjatanya, laris dan teruji.

Selain Korea Utara, Korea Selatan juga akan terjejas teruk jika perang nuklear benar-benar tercetus. Berikutan itu Seoul cuba mengajak Pyongyang supaya tidak meneruskan ancaman menyerang Amerika dan kedudukan tentera Amerika di Guam.

Dalam hal ini, Menteri Penyatuan Korea Selatan, Chun Hae-sung berkata, kerajaannya sedang mempertimbangkan pelbagai langkah perlu untuk meredakan ketegangan dengan Korea Utara, termasuk membuka pintu dialog.

Chun berkata demikian sebagai mengulas ketegangan antara Korea Utara dan Amerika yang dilihat kian meningkat berikutan ancaman Pyongyang untuk melancar empat peluru berpandu ke Guam, sebuah pulau Amerika di Pasifik.

Sesuatu yang agak aneh, ancaman Korea Utara menembak Guam dibuat pada saat-saat Seoul menyatakan hasrat untuk membina hubungan dengan Pyongyang.

Korea Selatan sebelum itu mengusulkan supaya rundingan ketenteraan antara dua Korea itu diadakan segera bagi membolehkan keluarga yang terpisah akibat perpecahan dua Korea itu bertemu.

Korea utara dan selatan terpisah pada tahun 1953 selepas perang Korea ditamatkan melalui gencatan senjata,

Meskipun Korea Utara tidak memberikan jawapan atas usaha Korea Selatan itu, Seoul tetap berusaha memperbaiki hubungan termasuk masalah nuklear Korea Utara.

Pemerhati melihat ancaman Korea Utara itu tidak ubah sebagai konspirasi dengan Amerika yang ingin menjual senjatanya kepada Korea Selatan sebanyak mungkin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here