Kontinjen negara berjaya menepati sasaran naib juara keseluruhan pada Sukan Para ASEAN (APG) KL2017 yang melabuhkan tirai pada Sabtu walaupun gagal merangkul juara keseluruhan mahupun mencapai sasaran awal 103 pingat emas.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata pencapaian kali ini iaitu 90 emas, 85 perak dan 83 gangsa adalah lebih baik pada edisi 2015 di Singapura dengan Malaysia menduduki tangga ketiga keseluruhan menerusi kutipan 52 emas, 58 perak dan 37 gangsa.

Malaysia terpaksa berpuas hati pada kedudukan kedua keseluruhan pada APG 2017 di belakang Indonesia yang muncul juara dengan kutipan 126 emas, 75 perak dan 50 gangsa manakala juara bertahan, Thailand turun ke tangga ketiga selepas mengumpul 68 emas, 73 perak dan 95 gangsa.

“Terdapat empat faktor yang menyebabkan  kita gagal meraih 103 pingat emas iaitu kelemahan dalam pemantauan prestasi pihak lawan disebabkan kekurangan kejohanan di peringkat serantau, jadi ia menyukarkan atlet kita untuk mengukur kekuatan atlet dari negara lain seperti Indonesia dan Thailand,” katanya pada sidang media mengenai prestasi atlet negara pada APG 2017 di sini, Sabtu.

Tiga faktor lain, jelas Ahmad Shapawi adalah penentuan sukan dan acara yang tiada memberi kelebihan pingat kepada Malaysia selaku tuan rumah seperti catur yang melibatkan 24 acara, boccia (tujuh acara) dan ping pong.

Ahmad Shapawi. – Bernama

Selain itu adalah kecederaan dan masalah kesihatan yang melibatkan beberapa atlet elit seperti atlet powerlifting, Mohd Shahmil Mohd Saad dan kegagalan atlet yang mempunyai prospek emas dalam beberapa acara seperti bola sepak lima sebelah dan memanah mengawal tekanan beraksi di laman sendiri.

Ahmad Shapawi pada masa sama menegaskan MSN dengan kerjasama Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan meneruskan program pembangunan dan latihan untuk beberapa sukan yang gagal mencapai sasaran pada APG 2017 iaitu bola sepak lima sebelah, powerlifting dan ping pong.

“Kita bagaimanapun memerlukan peruntukan dalam memberikan kemudahan latihan yang lebih baik di peringkat negeri,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memuji prestasi 111 atlet muda yang membuat penampilan sulung pada APG 2017 apabila menyumbang 30 daripada 90 pingat emas keseluruhan sambil mendakwa ia hasil kejayaan program pembangunan berterusan di peringkat negeri sejak 2015 yang turut mendapat kerjasama Persatuan Sukan Dan Rekreasi Orang Kurang Upaya (Pesron).

Antaranya adalah dua atlet berbasikal para, Muhammad Afiq Afify, 21 dan Muhammad Adi Raimie Amizazahan,17, yang masing-masing menyumbang 2 emas 1 perak dan 1 emas dua perak selain dua atlet olahraga, Eddy Bernard, 16 dan S. Thavanesvaran, 18 yang menyumbang dua pingat emas.

Atlet negara meraikan pingat emas dalam acara goalball di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec), Sabtu. – Bernama

Ahmad Shapawi pada masa sama turut memuji beberapa atlet veteran yang kekal menampilkan aksi cemerlang di laman sendiri seperti dua atlet olahraga, Bajuri Ladis, 43 dan Faridul Masri, 36 yang menyumbang dua emas dalam penampilan keenam pada APG 2017.

Seramai 323 atlet dan 167 pegawai  yang diketuai oleh  Chef de Mission, Laksamana Pertama (B) Datuk R. Subramaniam mewakili Malaysia pada APG 2017 yang dibuka secara rasmi pada 17 Sept lepas.

Pencapaian pada APG 2017 adalah yang kedua terbaik sejak edisi 2009 yang turut diadakan di Kuala Lumpur yang menyaksikan Malaysia menduduki tangga kedua keseluruhan dengan kutipan 94 emas, 80 perak dan 54 gangsa.

Edisi kali ini turut menyaksikan atlet negara menampilkan aksi cemerlang setelah memperbaharui sembilan rekod temasya iaitu masing-masing enam rekod dalam acara renang, dua rekod (olahraga) dan satu rekod dalam acara powerlifting.

Untuk rekod, Malaysia pernah menjadi tuan rumah Sukan Para ASEAN sebanyak dua kali iaitu pada edisi 2001 dan 2009. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here