Persembahan daripada enam artis tanah air di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, petang kelmarin, mengakhiri siri jelajah konsert [email protected] Tour 2015.

Konsert percuma selama empat jam itu menampilkan penyanyi terkenal Hazama serta kumpulan Tres Empre, Bil Musa, Love Me Butch, Massacre Conspiracy dan Bittersweet.

Persembahan memukau barisan pemuzik membuatkan peminat tidak berganjak dari lokasi dan suasana dalam pusat hiburan itu cukup meriah dengan sokongan terhadap band kesayangan mereka.

Acara itu turut menjadi persembahan terakhir Love Me Butch yang dianggotai Wing Meng (gitar), Kevin Kong (bass) dan Jana Nair (dram) bersama vokalis Syarul Reza yang akan berhijrah ke Melbourne, Australia.

Meng ketika ditemui berkata, walaupun sedih dengan perpisahan itu, kumpulan berkenaan akan meneruskan karier seni mereka.

“Selepas ini, kami perlu mencari pengganti Syarul dan ada perancangan untuk menghasilkan karya baru,” katanya.

Mengenai konsert [email protected] Tour 2015, gitaris itu berkata, acara sedemikian sememangnya platform baik untuk kumpulan ‘independent’ mengetengahkan muzik serta bakat.

“Ramai penonton datang menyaksikan konsert terakhir ini dan kami teruja untuk menghiburkan peminat dengan lagu lama dan baru,” katanya.

Antara lagu dipersembahkan kumpulan Love Me Butch ialah The Protector, Come Out Come Out, We Are All You’ve Got, Hollywood Holiday dan Barricade.

Sementara itu, Pengurus Kandungan RAKU Rithan Vijay berkata, siri jelajah konsert [email protected] Tour 2015 mendapat sambutan menggalakkan dan terdapat perancangan untuk meneruskan acara itu pada masa depan.

“Konsert ini percuma kerana kami mahu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kegiatan memuat turun muzik secara haram di Internet.

“Peminat boleh mendengar lagu artis kesayangan dengan hanya memuat turun aplikasi RAKU menerusi Google Play dan Apple App Store atau dengan melayari Raku.my,” katanya.

Rithan berkata, sejak dilancarkan pada April lalu, aplikasi RAKU mencatatkan sejumlah 98,000 muat turun.

“Aplikasi ini membantu penyanyi tanah air mempromosikan muzik mereka dan pada masa sama menerima bayaran bagi setiap lagu yang dimuat naik.

“Bukan itu saja, aplikasi ini juga sebagai platform bagi artis baru untuk menaikkan nama mereka dalam industri seni tanah air,” katanya.

Jelajah konsert [email protected] Tour 2015 bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan dianjurkan RAKU dengan kerjasama Digi.

Acara membuka tirai di Hard Rock Cafe Melaka pada 9 Ogos lalu diikuti Pulau Pinang (16 Ogos) seterusnya Sabah (23 Ogos) dan diakhiri di Kuala Lumpur, kelmarin.

Artis lain yang turut memeriahkan acara di lokasi lain jelajah konsert berkenaan adalah Plague of Happiness, Dragon Red, Pretty Ugly, Lester dan Misgiven.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here