Nama Awie sering kali dikaitkan dengan hero melayu dan tidak penah usang sehingga kini dan sebagai peminat filem – filem Melayu, kita sudah dapat membayangkan hero Melayu popular dengan filem Sembilu, Merah, Maria-Mariana, Tragedi Oktober dan banyak lagi.

Awie sememangnya satu jenama dalam industri hiburan tempatan di mana kemunculannya sebagai vokalis kumpulan Wings meninggalkan kesan tersendiri dalam arena rock tanah air.

Meski pun dikenali sebagai rockers dan membawa imej tersebut sebagai penampilan, Awie berkebolehan melakonkan watak mat cinta dan disebabkan lakonan-lakonannya itulah dia masih kekal terkenal sehingga kini.

Melewati zaman kegemilangannya, kisah Awie tidak pernah hilang dari industri. Dari cerita kehebatan filem yang mendapat kutipan pecah panggung sehingga kisah cinta dan perkahwinan, semuanya menarik perhatian umum.

Awie baru sahaja selesai Konsert Wings Takkan Melayu Hilang Di Dunia di Istana Budaya, baru-baru ini. Selepas itu, dia  seakan berdiam diri. Hanya kisah mahkamah berkaitan hak penjagaan anak dengan bekas isteri sahaja yang masih kedengaran di mahkamah.

Berpeluang merisik khabar selebriti itu, Awie memaklumkan kepada Zass bahawa dia terpaksa menolak dan melepaskan beberapa tawaran lakonan buat sementara waktu.

Namun, keputusan itu bukanlah disebabkan kemelut rumah tangga yang sedang dihadapinya, tetapi kerana sibuk menguruskan siri jelajah konsert bergerak Wings bersempena 30 tahun berada dalam industri.

“Konsert 30 Tahun Wings akan diadakan di Stadium Merdeka pada 31 Oktober 2015. Wings juga sedang membuat perbincangan dan persiapan mengadakan siri jelajah Eropah sekitar bulan dua dan tiga tahun depan. Insya-ALLAH,” katanya.

Menariknya, dari segi promosi konsert ini, aktiviti jelajah bermotosikal di seluruh Malaysia akan diadakan untuk melantik ejen penjualan tiket bermula 24 Ogos ini.

“Semua anggota Wings akan terlibat. Oleh sebab itu, buat masa ini segala aktiviti berkaitan penggambaran terpaksa saya tangguh atau lepaskan jika terpaksa. Saya nak fokus kepada konsert ini dahulu.

“Bukan sahaja konsert, tapi kami akan adakan pameran 30 tahun penglibatan Wings dalam industri serta pencapaian Wings pada konsert itu nanti. Selain konsert, karnival sempena kempen kesiapsiagaan tentang bencana alam turut diadakan. Saban tahun semakin banyak berlaku bencana alam, jadi kami mahu melancarkan kempen kesedaran,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here