foto sembelihan

PADA 13 Dzulhijjah 1438H, berakhirlah sudah tempoh pelaksanaan ibadah korban bagi umat Islam pada tahun ini. Memandangkan tanggal 10 Dzulhijjah 1438H ataupun Hari Raya Aidiladha jatuh pada hari Jumaat, maka terdapat sebahagian besar masjid dan pelbagai pihak di seluruh negara memilih untuk melaksanakan penyembelihan haiwan korban bermula pada Sabtu bagi mengelakkan kekalutan yang mungkin timbul berikutan solat fardhu berjemaah yang dikerjakan pada hari Jumaat.

Ibadah korban yang dilaksanakan saban tahun di pelbagai institusi samada di masjid-masjid mahupun di rumah-rumah sering memperlihatkan semangat kerjasama dan silaturrahim yang tinggi dalam kalangan orang Islam di negara ini.

Mereka hadir secara berbondong-bondong menuju ke tempat penyembelihan dengan matlamat yang sama iaitu untuk saling bantu-membantu dan bergotong-royong dalam proses ibadah agung tersebut walaupun sebahagian besar daripada mereka mungkin tidak pun menjadi sebahagian daripada peserta ibadah korban lantaran kekangan kewangan, kuota yang terhad dan sebagainya.

Memandangkan Aidiladha merupakan salah satu daripada dua perayaan umat Islam selain Aidilfitri yang disambut pada bulan Syawal, maka kemeriahannya sering diabadikan dalam bentuk foto dan video oleh ramai individu. Dan dengan perkembangan teknologi yang ada pada hari ini, kebanyakan foto dan video tersebut dimuat naik dan dikongsikan di pelbagai laman media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk tontotan umum.

Walau bagaimanapun, dalam keghairahan berkongsi foto dan video yang berkaitan, sebahagian umat Islam nampaknya belum peka terhadap etika pelaksanaan ibadah korban dan sensitiviti masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum. Sebahagian mereka nampaknya begitu seronok bergambar dengan memaparkan pelbagai gaya haiwan korban.

Hal ini tentunya perlu ditegur dan diperbetulkan.

Keghairahan Yang Mengundang Fitnah

Bagi umat Islam yang telah pun faham, tentunya mereka mengerti bahawa ibadah korban tersebut disyariatkan dengan hikmah dan pengajarannya yang tersendiri. Justeru, ia datang dengan peraturan dan etika yang perlu diperhatikan sebelum ibadah tersebut dapat dilaksanakan.

Dalam aspek penyembelihan, umat Islam diajar untuk memastikan ibadah tersebut dilakukan dalam keadaan haiwan tenang dan tiada sebarang rasa takut atau resah. Malah, adab yang seringkali ditekankan adalah jangan disembelih haiwan tersebut di hadapan haiwan lain yang sedang menunggu giliran.

Jelas, dengan haiwan yang hendak dikorbankan pun ada adab yang perlu kita patuhi. Justeru, perbuatan memuat naik atau menayangkan foto sembelihan tanpa tujuan yang dibenarkan dengan kepala yang dipotong, kulit yang dilapah dan daging yang disiat-siat hanya akan memberikan mesej yang salah kepada orang awam yang tidak memahami pensyariatan ibadah korban itu sendiri.

Ketidakpekaan umat Islam dalam hal ini boleh mengundang fitnah dan tanggapan negatif. Situasi sebegini hanya akan memburukkan imej agama Islam yang sudah pun dilabel oleh pihak berkepentingan sebagai ganas dan tidak berperikemanusiaan.

Sensitiviti Penganut Hindu

Hidup dalam masyarakat yang berbilang kaum seharusnya membuatkan umat Islam lebih peka terhadap sensitiviti penganut agama lain di negara ini dan begitulah sebaliknya. Maka sebagai rakyat Malaysia, tentunya umat Islam tahu bahawa lembu merupakan binatang yang suci bagi penganut agama Hindu.

Justeru, berbangga menayangkan ‘hasil’ sembelihan korban di media sosial hanya untuk kenangan dan suka-suka jelas tidak menghormati komuniti ketiga terbesar negara itu. Apatah lagi pengguna atas talian seperti di Facebook, Instagram dan Twitter adalah komuniti yang merentasi agama. Foto dan video sembelihan yang dikongsi tersebut boleh dilihat dan ditonton oleh sesiapa sahaja.

Status Islam sebagai agama rasmi persekutuan tidak sepatutnya dijadikan alasan mudah untuk umat Islam mengambil sikap tidak peduli sensitiviti penganut agama lain. Mungkin sebahagian orang menganggap isu ini adalah perkara kecil memandangkan ibadah korban ini dilaksanakan setiap tahun dan penganut Hindu juga tidak terlalu ‘bising’ mengenai perkara ini.

Hakikatnya, kita yakin dan bersetuju setiap perkara yang menganggu sensitiviti agama di negara ini tidak perlu kita nyatakan dan tayangkan secara umum. Tentunya ramai penganut Hindu di luar sana yang terkesan dengan kesemua foto dan video sembelihan korban yang tular di media sosial, namun memilih untuk berdiam diri atau setidak-tidaknya hanya mengadu secara senyap kerana khuatir disalah erti.

Alangkah manisnya ibadah jika kita sebagai umat Islam memahami hikmah dan keutamaannya. Dalam hal ini, semestinya umat Islam perlu diingatkan bahawa yang disyariatkan itu adalah ibadah korban yang kita ikhlaskan, bukan pula sesuatu yang kita sengaja tayang-tayangkan.

SHARE
Previous articlePolitik Kebencian Sebati Dalam Budaya DAP?
Next articleDilema PKR
Nuh Abqari regards himself as a political scientist who actively does the outdoors, hiking and football in particular. Having led a modest life, he hates every overrated thing. Like Manchester United.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here