Cover image via Malay Mail Online

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini menyerahkan pemacu pena atau ‘pendrive’ yang didakwa mengandungi dokumen melibatkan skandal dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), tiba kira-kira jam 11.30 pagi dan menyerahkan ‘pendrive’ serta salinan dokumen berkenaan kepada Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Azam Baki di ibu pejabat suruhanjaya itu di sini.

Dokumen tidak diubah

Menurut Khairy, beliau tidak mengubah dokumen yang ada dalam ‘pendrive’ berkenaan sebelum menyerahkannya kepada SPRM.

“Kandungan ‘pendrive’ itu adalah seperti mana yang diserahkan kepada saya oleh Tengku Mahkota Johor (TMJ). Saya cuma buka untuk dibaca dan dicetak. ‘Pendrive’ yang sama telah saya serahkan pada SPRM,” katanya semasa ditemui media di luar Ibu Pejabat SPRM selepas selesai menyerahkan ‘pendrive’ di sini hari ini.

Tegasnya, beliau tidak pernah mengesahkan bahawa terdapat unsur rasuah dalam dokumen berkenaan, sebaliknya menyerahkan perkara berkenaan kepada SPRM untuk membuat siasatan.

“Itu (soal unsur rasuah) saya serah pada SPRM untuk membuat siasatan. Biarlah mereka sebagai agensi bertanggungjawab untuk buat siasatan berkenaan isu rasuah ini, siasat dulu dan buat satu pengumuman sama ada kandungan ‘pendrive’ itu ada atau tidak apa-apa kes penyelewengan dalam FAM.

“Saya sudah bagi bayangan sebelum ini berkenaan apa kandungan dan sebagainya laporan teknikal. Oleh kerana laporan itu sudah ada di tangan SPRM, saya serah pada mereka untuk buat siasatan dan memberi pandangan mereka sama ada dalam kandungan itu ada kes yang boleh disiasat dengan lebih lanjut,” jelas beliau lagi.

Dedah kandungan kepada umum

Dalam pada itu, Khairy juga mencadangkan agar SPRM mendedahkan dokumen berkenaan kepada umum selepas selesai siasatan.

“Saya cadangkan pada SPRM oleh kerana ini kes kepentingan umum, disebabkan ada banyak andaian telah dibuat, saya cadangkan kepada SPRM selepas selesai siasatan SPRM, saya nak letakkan kandungan ini untuk tatapan umum dan SPRM minta saya beri mereka masa dahulu untuk siasat kandungan tersebut dan selepas selesai siasatan itu barulah saya boleh dedahkan kandungan tersebut,” kata Khairy.

Ujarnya, beliau telah meneliti kesemua dokumen yang dianggarkan 279 muka surat berkenaan sebelum menyerahkannya kepada SPRM.

“Seminggu yang ada ini saya telah meneliti semua laporan itu dan membaca semua laporan itu dari a ke z. At least i know what is in there, at least i know have given to SPRM. Saya tahu sepenuhnya laporan tersebut,” kata Khairy.

TMJ mahu Khairy ambil tindakan susulan

Jelasnya, semasa pertemuannya dengan TMJ sebelum ini, baginda menyerahkan kepada beliau untuk mengambil tindakan susulan.

“Baginda beri ‘pendrive’ kepada saya dan buat apa sahaja yang patut saya buat. Semasa saya jumpa baginda, memang kami bincang mengenai perkara lain dahulu, tetapiĀ  baginda sangat berminat untuk memberikannya kepada saya. He said he doesn’t want to have possesion anymore and he said i want you to read it, do what you want to do with it,” katanya lagi.

Justeru beliau, berpendapat tindakan menyerahkan pendrive berkenaan kepada SPRM adalah tepat.

Khairy menerima pendrive itu pada Jumaat dari Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang didakwa mengandungi pelbagai maklumat teknikal dalam FAM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here