MENGETEPIKAN sentimen politik dan kepartian demi Malaysia. Itu sikap ditunjukkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang turut melaungkan sokongan kepada pasukan bola sepak negara di Stadium Shah Alam KL2017.

“Tidak ada (perbezaan) parti malam ini, (yang ada) hanya Malaysia,” tulis Khairy menerusi Twitternya.

Tweet itu disertakan dengan sekeping foto bersama Nurul Izzah yang diabadikan sendiri oleh beliau.

Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin turut kelihatan dalam foto itu.

Momen dirakamkan itu mendapat perhatian netizen termasuk Nurul Izzah sendiri, yang kemudiannya berkongsi Tweet milik Khairy di laman Twitter miliknya.

“Terima kasih untuk perpaduan @Khairykj, perlawanan yang sangat hebat, kita jumpa lagi pada perlawanan akhir,” kata Nurul Izzah menerusi akaun Twitternya pula.

Dalam masa sama, Nurul Izzah menerusi laman Facebook turut mengucapkan penghargaan ke atas kemenangan Malaysia yang bertemu pasukan Indonesia pada separuh akhir perlawanan bola sepak untuk Sukan Sea ke-29 KL2017 , malam tadi.

“Saya ucapkan tahniah buat pasukan bola sepak yang mewakili Malaysia dalam Sukan Sea kerana berjaya meraih kemenangan 1-0 berlawan pasukan Indonesia.

“Saya berpeluang menyaksikan sendiri secara langsung di Stadium Shah Alam tandukan yang dihasilkan oleh Thanabalan yang memberikan kemenangan buat pasukan Malaysia!

“Semoga pasukan Malaysia terus berusaha dan meraih kemenangan di pusingan akhir menentang pasukan Thailand,” tulisnya.

Sentuhan penyerang negara, N Thanabalan pada penghujung masa perlawanan‎ melayakkan skuad bola sepak Malaysia ke pentas akhir selepas menewaskan Indonesia 1-0.

Ia sekali gus meletakkan skuad muda Malaysia itu menjadi pencabar kepada Thailand yang lebih awal mengesahkan tempat ke pentas akhir selepas menewaskan Myanmar 1-0.- Sinar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here