Duta Kecil

BULAN Ogos tahun ini merupakan bulan yang amat bermakna kepada semua warga Malaysia. Bulan ini adalah bulan yang akan menonjolkan semangat patriotisme dalam kalangan kita semua kerana kita akan menyambut Hari Kebangsaan 2017 dan Hari Kemerdekaan yang ke-60. Lebih manis apabila pada bulan ini Malaysia bakal menjadi tuan rumah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Sebagai tuan rumah acara sukan penting di rantau ini, setiap warga Malaysia mempunyai peranan tersendiri sebagai ‘Duta Kecil’ negara. Bermula daripada atlet yang bertanding, sukarelawan yang bertugas sehingga orang awam yang berada di seluruh negara, semuanya mempunyai tugas dan tanggungjawab tersendiri untuk menonjolkan kekuatan Malaysia. Tanggungjawab utama sudah tentu membawa imej baik dan nama negara kepada tetamu yang berkunjung ke Malaysia. Persoalannya sekarang, adakah kita sudah bersedia menjadi Duta Kecil Malaysia?

Apabila seseorang atlet dipilih untuk mewakili negara ke sesuatu pertandingan atau temasya sukan, mereka secara automatik menjadi duta kecil negara. Selain berusaha untuk meraih kejayaan, mereka juga berperanan untuk menjaga nama baik negara. Atlet juga dilihat sebagai ikon atau idola kepada peminat sukan tanah air khususnya dalam kalangan remaja. Namun, sekiranya masalah disiplin segelintir atlet ketika mewakili negara timbul, secara tidak langsung perkara ini boleh memalit imej negatif kepada negara.

Seperti mana yang pernah dilaporkan sebelum ini di mana beberapa atlet dalam Sukan Komanwel di Glasgow dan Sukan Asia di Incheon pernah didenda sejumlah hampir RM150,000 kerana merokok dan merosakkan harta benda awam termasuk membakar permaidani dan menyebabkan limpahan air di asrama. Di Scotland, kontinjen negara didenda sejumlah RM3,640 manakala di Korea Selatan, jumlah denda yang dikenakan ialahRM142,478.

Selain itu, adakah lebih 13,000 sukarelawan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang dipilih pula perlu memberikan khidmat terbaik bagi melicinkan penganjuran KL2017. Seperti kata Menteri Belia dan Sukan, YB Khairy Jamaluddin, ramuan kejayaan sesuatu temasya sukan seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan Komanwel bergantung kepada sukarelawan, untuk itu diharapkan semua sukarelawan dapat menjadi lebih proaktif dan sentiasa bersedia untuk menghadapi Sukan terbesar di rantau Asia Tenggara ini.

Orang awam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya wajar menjaga tingkah laku dan menunjukkan adab sopan di samping menjunjung salah satu perkara dalam Rukun Negara – Kesopanan dan Kesusilaan. Tabiat buruk seperti membuang sampah merata-merata, meludah sesuka hati dan vandalisme akan mengundang persepsi negatif masyarakat antarabangsa terhadap budaya Malaysia. Perkara begini perlu dielakkan sama sekali selepas Kerajaan telah membelanjakan peruntukan berjuta ringgit untuk memastikan penganjuran Sukan SEA KL 2017 berjaya sepenuhnya.

Kejayaan sebenar penganjuran acara sukan seperti ini bukanlah terletak kepada pungutan pingat semata-mata tetapi apa yang lebih penting bagaimana kita mempamerkan imej Malaysia di mata dunia. Kita Duta Kecil Malaysia!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here