Pemimpin parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini Umno terus memainkan momok “ancaman Cina” walaupun jumlah penduduknya semakin berkurangan sejak beberapa tahun lalu.

“Ketakutan yang ditimbulkan pemimpin Umno bagi mempertahankan diri sendiri – jika Umno kalah dalam pilihan raya umum, orang Melayu akan kehilangan kuasa politik dan menjadi orang asing di tanah air mereka sendiri – merupakan suatu kebohongan besar. Ini kerana orang Melayu tidak akan kehilangan kuasa politik jika Umno diusir dari Putrajaya,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Lim memaklumkan pada tahun 1957, populasi Melayu berada pada 49.8 peratus manakala penduduk Cina, India dan lain-lain berada pada 37.2 peratus, 11.11 peratus dan dua peratus masing-masing.

“Pada 1970, penduduk Malaysia terdiri daripada 44.32 peratus orang Melayu, 34.34 peratus Cina, 8.99 peratus kaum India, 11.89 peratus bumiputera bukan Melayu dan 0.67 peratus untuk lain-lain kaum.

Orang Melayu bertambah

“Pada 2010, peratusan orang Melayu di kalangan rakyat Malaysia bertambah kepada 55.07 peratus, China berkurangan kepada 24.34 peratus, India menurun kepada 7.35 peratus, Bumiputera bukan Melayu kekal pada 11.94 peratus dan 1.3 peratus lagi untuk lain-lain,” katanya.

Tambahan pula, Lim berkata Jabatan Perangkaan telah meramalkan bahawa penduduk Cina akan terus mengecil kepada 19.6 peratus pada tahun 2013 dan 18.9 peratus pada tahun 2035.

“Kenapakah para pemimpin Umno terus melagukan momok ‘ancaman Cina’ di Malaysia?

Fakta yang tidak dapat dipertikaikan ialah orang Melayu tidak akan kehilangan kuasa politik walau apa pun yang berlaku kepada Perdana Menteri sementara Datuk Seri Najib Razak atau kepada Umno pada pilihan raya umum akan datang, “katanya.

Lim menjelaskan pada pilihan raya umum lalu, seramai 52.63 peratus pengundi ialah orang Melayu, 29.68 peratus Cina, 7.31 peratus bagi kaum India, 8.96 peratus bumiputera bukan Melayu dan 1.43 peratus lain-lain kaum.

Daripada 165 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia, Lim berkata 114 kerusi majoriti Melayu, 22 kerusi majoriti Cina dan 29 kerusi campuran. Tiada kerusi majoriti India.

“Tiga faktor demografi ini akan menjadi trend yang berterusan pada tahun-tahun mendatang, mewujudkan dominasi Melayu yang luar biasa dalam senario politik Malaysia dan inilah sebabnya orang Melayu dengan apa cara sekali pun tidak akan kehilangan kuasa politik mereka, jika Umno kalah dalam pilihan raya umum,” katanya.

Terdahulu hari ini, Najib membuat hantaran di Twitter mendakwa DAP mempergunakan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya perhati Dr Mahathir sebenarnya diperkudakan saja oleh DAP untuk pecah belah undi Melayu, seolah-olah DAP baik kepada orang Melayu.

“Hakikatnya, mana ada? DAP ini baik ke kepada Melayu, kepada Islam? Dr Mahathir sendiri cakap DAP anti Melayu dan anti Islam #CakapTakSerupaBikin,” kata Najib pada hantaran Twitter hari ini.  – Malaysiakini –

1 COMMENT

  1. Najib kehabisan modal. Isu perkauman sudah tidak relevan pada masa sekarang. Semua kaum bersatu demi menamatkan kerajaan kleptokrasi. Itu saja fokus pru14.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here