kit siang

Umno menyifatkan tindakan veteran DAP, Lim Kit Siang menggesa menteri kabinet menghalang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada melakukan lawatan ke Amerika Syarikat bulan hadapan sebagai tindakan terdesak.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelbagai isu yang berlaku dalam Pakatan Harapan (Pakatan) termasuk suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung urus niaga forex ketika zaman bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyebabkan DAP terpaksa mengalih isu.

“Saya fikir Kit Siang terjebak dalam situasi di mana ia menuntut RCI ditubuhkan kerana hasratnya ketika itu adalah untuk jatuhkan Mahathir yang dipertanggungjawabkan kerana kerugian.

“Bila kerajaan setuju tubuh maka terkeluar fakta yang tidak sepatut berlaku tetapi sudah berlaku, kini keris makan tuan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Karnival Usahawan Kelantan 2017 @Ketereh di sini semalam. Hadir sama Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob.

Katanya Umno bukan seperti DAP dan Pakatan yang mana mereka boleh diperkotakan katikkan dan menerima arahan daripada pemimpin DAP itu.

Beliau dalam masa yang sama turut menegaskan adalah menjadi haknya untuk mengulas fakta perbicaraan RCI Forex yang jelas merugikan negara.

“Dalam surat terbuka itu nama saya turut disebut,  saya ulang adalah menjadi hak untuk update proses perbicaraan,” katanya.

Annuar berkata, DAP kini cuba  mempertahankan skrip yang dibuat untuk mengelirukan rakyat berhubung siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

Jelasnya, tindakan DOJ adalah  berdasarkan aduan awam dan belum melibatkan keputusan mahkamah.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here