BEBERAPA jam selepas video memaparkan Pakatan Harapan sebagai penghasut tular di media sosial, muncul pula video baharu “Barisan Penghasut” sebagai reaksi terhadap “Pakatan Hasutan.”

Bertajuk “Barisan Hasutan,” video 160 saat itu turut dimuat naik di laman Facebook Friends of Tun Mahathir, menggunakan kaedah psikologi terbalik untuk menyampaikan mesej kepada pengundi supaya mengundi Barisan Nasional.

Menggunakan beberapa cuplikan rakaman dari video sebelum, kali ini video itu menggunakan skrip dan dialog berbeza bertujuan menonjolkan perbezaan dalam naratif BN.

Salah satu babak menunjukkan seorang lelaki membaca laporan berita mengenai Perdana Menteri Najib Razak menerima derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Kemudian, lelaki misteri yang separuh mukanya ditutup muncul membisikkan ke telinga lelaki itu supaya “percayalah, PM kita amanah.”

Babak itu diikuti pula dengan petikan berita Najib memberitahu orang ramai yang beliau tidak akan menyimpan wang itu dalam akaun peribadinya kalau betul beliau berniat untuk menyamun.

Babak itu diikuti dengan petikan wawancara Najib dengan editor milik kerajaan yang menjelaskan bahawa wang itu adalah derma peribadi dan “sebab itu akaun itu berada di bawah nama saya.”

Babak itu kemudian disambung pula dengan seorang lelaki menonton laporan berita mengenai kenaikan harga barangan sebelum lelaki misteri itu muncul membisikkan “percayalah GST (cukai barangan dan perkhidmatan) baik untuk rakyat Malaysia.”

Ia kemudian diikuti pula dengan babak berita menunjukkan Najib berkata yang GST baik untuk rakyat dan negara secara keseluruhannya.

“GST bukanlah untuk menyusahkan rakyat. GST adalah penyelamat kepada rakyat Malaysia,” kata Najib melalui video itu.

Sebelum tamat, sebuah paparan menunjukkan yang perkataan boleh diputar belit dan hujah yang meyakinkan, pembohongan, fitnah dan ancaman akan digunakan.

Video itu diakhiri dengan: “Undilah Barisan Nasional. Kalau kau undi juga, kau bodoh,” sebelum memeparkan paparan yang mengatakan mengundi BN akan menghancurkan negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here