AKTRES jelita Kiera Knightley merasakan dirinya seorang yang amat bertuah lantaran mampu bertahan lama dalam industri seni Hollywood, selepas menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran,

Kagum dengan pencapaian tersebut, Knightley bagaimanapun mengakui masih tidak percaya akan kejayaan yang diraihnya itu.

“Bagaimana saya mampu bertahan selama ini? Saya terkejut.

“Tapi, saya sangat beruntung kerana saya pernah tidak mendapat apa-apa tawaran filem sebelum ini,” katanya.

Tidak hanya itu, pemilik nama sebenar Keira Christina Knightley ini juga sering mengelakkan diri daripada berada dalam keadaan kesedihan.

“Jika saya sedih, saya harus cepat melupakannya dan kembali bangun. Saya harus menjadi seorang yang lebih bersemangat,” katanya.

Bagaimanapun, ramai berpendapat, Knightley berjaya mengawal populariti yang di kecapi pada usia muda kerana berjaya mengelak daripada terlibat dalam pengambilan najis dadah.

Bahkan, pelakon berusia 30 tahun itu sangat bersyukur kerana tidak ketagihan bahan terlarang itu seperti yang membabitkan beberapa selebriti selepas mencipta kemasyhuran pada usia muda.

“Saat itu telah lama berlalu dan saya tidak boleh ingat apa yang berlaku.

“Namun saya masih di sini, masih hidup dan tidak menjadi seorang yang ketagihan dadah. Saya memilih jalan yang betul,” katanya.

Pada masa sama, Knightley mengakui mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi pemuzik remaja berbanding bintang filem untuk terlibat dalam pengambilan dadah.

Menyelak kembali episod karier seninya, anak kelahiran Teddington, Middlesex, England, United Kingdom ini memulakan kerjaya lakonannya sedari kecil lagi apabila membintangi pelbagai drama di kaca TV sebelum membuat kemunculan di layar perak pada 1995 menerusi filem Star Wars Episode I: The Phantom Menace (1999). Dia kemudiannya membintangi pelbagai filem seperti The Hole (2001) dan Bend It Like Beckham (2002).

Bagaimanapun selepas membintangi Pirates of the Caribbean; The Curse of the Black Pearl pada 2003, nama Knightley semakin dikenali sekali gus menyebabkan dia menerima pelbagai tawaran filem seperti Pride & Prejudice (2005), Atonement (2007), Silk (2007), The Duchess (2008), A Dangerous Method (2011) dan Anna Karenina (2012).

Malah, bagi membuktikannya seorang pelakon versatil. Knightley turut muncul dalam pelbagai genre filem di Hollywood seperti Love Actually (2003), King Arthur (2004), The Jacket (2005), Domino (2005), The Edge of Love (2008), London Boulevard (2010), Never Let Me Go (2010), Last Night (2010), Seeking a Friend for the End of the World (2012), Jack Ryan: Shadow Recruit (2014), Begin Again (2014) dan The Imitation Game (2014).

Kagumi Angelina Jolie

Dalam pada itu, isteri kepada vokalis Klaxons, James Righton turut melahirkan rasa kagumnya dengan kejayaan dan sifat perikemanusiaan yang dimiliki aktres cantik, Angelina Jolie.

Bahkan, Knightley mengakui belajar menjadi insan yang berguna selepas melihat bintang filem Maleficent itu kerap melakukan pelbagai aktiviti kemanusiaan dan kerja-kerja amal.

“Saya sangat kagum dengan dia (Jolie). Saya tak pernah terfikir yang kita boleh meninggalkan sesuatu yang sangat bermakna dengan melakukan seperti yang dilakukannya kepada masyarakat di seluruh dunia.

“Dia banyak mengabdikan dirinya dengan pelbagai kerja amal bahkan meninggalkan amanat yang sangat bagus.

“Saya sangat senang dengannya dan bersedia untuk membantu,” katanya kepada Female First.

Bukan itu saja, ibu anak satu ini juga berasa malu melihat dirinya yang tidak melakukan apa-apa untuk orang-orang yang berada di sekitarnya.

Oleh sebab itu, wanita ini mengikut jejak Jolie untuk turut sama terlibat membantu mereka yang memerlukan.

“Ketika saya bertanya kepada diri sendiri ‘siapa kamu?’, saya benar-benar ingin berkata saya adalah seorang doktor atau suatu pekerjaan yang berguna bagi kebanyakan orang,” katanya.

Bintangi Everest

Dalam perkembangan lain, Knightley bakal muncul filem terbaharunya, Everest yang mengambil ekspedisi mendaki gunung tertinggi di dunia sebagai subjek utama.

Diarahkan oleh Baltasar Kormákur, ia adalah filem pertama bertemakan aksi-pengembaraan dalam iklim ekstrem-bencana alam.

Berdasarkan kisah benar, filem ini adalah berdasarkan buku terkenal Into Thin Air: A Personal of The Mt. Everest Disaster oleh Jon Krakauer yang diterbitkan pada 1997. Ia berkisar bencana alam yang berlaku di Gunung Everest pada 1996.

Filem ini mengikuti kisah dua kumpulan ekspedisi mendaki gunung Everest. Dalam perjalanan dan akhirnya tiba di puncak, mereka tersedar yang tiba di puncak bukanlah bahagian paling sukar yang akan mereka tempuhi sebaliknya perjalanan pulang adalah perkara yang paling merbahaya.

Selain Knightley, filem yang kaya dengan babak aksi, persahabatan, drama dan pengembaraan. turut dibintangi oleh Jason Clarke, Jake Gyllenhaal, Josh Brolin, John Hawkes, Robin Wright, Michael Kelly, Sam Worthington dan Emily Watson.

Apakah yang terjadi? Nantikannya di pawagam berdekatan mulai 24 September ini.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here