SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo, dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) selepas terjatuh ketika berjoging, pagi tadi. Beliau yang berusia 50, pada mulanya dikejarkan ke Hospital Selayang selepas disyaki mengalami serangan jantung, sebelum dirujuk ke IJN pada jam 2 petang. Sumber rapatnya berkata, Dr Mohamad Khir dipercayai pengsan kerana beliau berpuasa. “Beliau sudah diperiksa doktor tetapi keputusannya belum diperoleh. Doktor masih belum mengetahui sama ada beliau mengalami serangan jantung atau sebaliknya. Dr Mohamad Khir sudah sedar dan sedang berehat,” katanya. Berita mengenai kejadian itu tersebar melalui portal berita, yang turut memuatkan gambar Dr Mohamad Khir terbaring di atas katil hospital.
Kejadian itu berlaku sehari sebelum Mahkamah Persekutuan dijangka membuat keputusan terhadap rayuan Dr Mohamad Khir membabitkan sabitan dan hukuman penjara selama 12 bulan, yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 23 Disember 2011, membabitkan kesalahan memperoleh lot tanah dan banglo di Seksyen 7, di sini. Pada 2011, Dr Mohamad Khir dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah mendapatkan untuk dirinya dan isteri, Zahrah Kechik, dua lot tanah dan sebuah banglo bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta, sembilan tahun lalu. Dr Mohamad Khir didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, menerima barangan berharga tanpa balasan iaitu mendapatkan bagi dirinya dan isterinya, Zahrah Kechik, dua lot tanah dan sebuah rumah di Nombor 8 dan 10, Jalan Suasa 7/1L, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarah syarikat berkenaan, Shamsuddin Hayroni, dengan harga RM3.5 juta sedangkan hartanah berkenaan dibeli syarikat terbabit dengan harga RM6.5 juta pada 23 Disember 2004. Pada 30 Mei tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 12 bulan serta pelucutan hak terhadap hartanah yang dimiliki itu dan diserahkan kepada kerajaan. Dr Mohamad Khir kemudian memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here