Nilai bersih Khazanah Nasional susut RM9 bilion dalam 2 tahun sejak 2014. Laporan itu mengatakan pegawai kanan kerajaan sedang mendesak perubahan pada pengurusan dana kekayaan berdaulat itu dan strategi pelaburannya.

Menurut laporan itu, nilai bersih Khazanah menyusut sejak 2014 daripada RM111 bilion kepada RM102 bilion. Penjadualan nilai bersih itu tidak jelas tetapi ia mengukur nilai semasa portfolio Khazanah serta pulangan dividen kepada dana itu.

“Secara ringkas, nilai Khazanah susut 8% atau RM9 bilion wang awam dalam 2 tahun,” tambah laporan itu.

Kali terakhir Khazanah mengisytiharkan dividen lebih rendah daripada RM650 juta tahun ini adalah pada 2011.

Sejumlah besar pelaburan perniagaan langsung kerajaan diuruskan Khazanah, yang memberi pulangan purata sebanyak RM825 juta dalam bentuk dividen tahunan sejak 4 tahun lepas, daripada aset bernilai RM145 bilion. Menurut ST, pulangan itu bersamaan kurang daripada 1% pulangan setahun antara 2013 dan 2016.

Menurut laporan itu, sesetengah pihak dalam “lingkungan penasihat” Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mendesak perubahan pada strategi pelaburan Khazanah, terutamanya apabila pengarah pengurusan dana itu, Datuk Azman Mokhtar bakal meninggalkan dana itu pada pertengahan 2019 selepas 15 tahun berkhidmat.

Menteri Kewangan Ke-II Datuk Seri Johari Abdul Ghani memberitahu ST, perancangan penggantian Khazanah akan menjadikan peningkatan pulangan satu keutamaan. “Saya rasa untuk sesiapa sahaja yang akan menjalankan dana itu, itu sememangnya sebahagian daripada KPI mereka,” katanya merujuk kepada penunjuk prestasi utama.

Exco Pemuda Umno Rahman Hussin memberitahu ST beliau ditugaskan untuk membangkitkan isu firma berkaitan kerajaan yang tidak berprestasi pada Perhimpunan Agung Umno bulan depan.

“Khazanah mempunyai banyak subsidiari, tetapi sebagai pemegang wang awam, mengapa ia tidak menghasilkan pulangan yang boleh disalurkan kembali kepada ekonomi?” soalnya menurut akhbar itu.

Laporan ST mengatakan pembangkang percaya pulangan lebih banyak daripada perusahaan negara seperti Khazanah dapat membantu defisit fiskal Malaysia, yang kini 3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Pengerusi jawatankuasa bajet Pakatan Harapan, Wong Chen, menganggar tabung itu boleh dan patut isytihar RM2.5 bilion dalam bentuk dividen setiap tahun.

“Walaupun perbelanjaannya tidak jelas, kami mendapati ia membelanjakan RM4.5 bilion daripada hasilnya setiap tahun sebelum mengisytiharkan keuntungan sebelum cukai. Seseorang akan hairan mengapa sebuah syarikat saham membelanjakan sehingga 80% daripada hasilnya,” katanya menurut laporan itu.

Khazanah mengawal beberapa firma terbesar Malaysia termasuklah syarikat elektrik negara Tenaga Nasional dan syarikat telekomunikasi Telekom Malaysia dan Axiata. Ia juga mengawal bank CIMB. Kepentingannya dalam 4 syarikat besar ini sahaja meraih RM1.5 bilion dalam bentuk dividen tahun ini.

Menurut laporan itu, prestasi Khazanah lebih teruk berbanding Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Sejak 2004, Khazanah telah mendapatkan pulangan sebanyak RM9 bilion dalam bentuk dividen, bersamaan purata pulangan tahunan bawah 1% daripada saiz dana itu, sementara KWSP menambah lebih 5% setiap tahun kepada simpanan persaraan pencarum.

Laporan ST itu mengatakan keuntungan Khazanah sebelum cukai, tidak termasuk perolehan modal yang tidak terealisasi, juga terkebelakang berbanding syarikat seperti Temasek Holdings milik Singapura, China Investment Corporation, Alaska Permanent Fund Corporation dan dana kekayaan berdaulat di dunia, Government Pension Fund Global milik Norway.

ST mengatakan Khazanah tidak memberi respons apabila diminta mengulas tetapi mereka dan penganalisis sentiasa mengatakan aktiviti “khidmat negara” iaitu pelaburan dalam industri strategik yang menyokong dasar kerajaan, sebagai faktor yang mungkin melemahkan pulangan.

Khazanah mempunyai 458 kakitangan di lebih 8 pejabat termasuk di London dan San Francisco.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here