Ketika beberapa pemimpin kanan PAS bersikap seakan menjauhi Tan Sri Khalid Ibrahim, presiden parti itu sebaliknya bersikap lebih lunak.

Kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang setakat ini PAS tidak tahu kedudukan pendirian politik bekas menteri besar Selangor itu namun menegaskan belum ada kata putus dibuat beliau mengenai Umno.

“Kita tak tahu lagi. Tak ada satu perkataan pun dia (sebut nak) sokong Umno. Mengikut apa yang saya tahu beliau hanya hadir,” katanya kepada media di Shah Alam malam tadi.

Abdul Hadi sebelum itu ditanya pandangannya mengenai kehadiran Khalid di Konvensyen Umno Selangor yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur pada 2 Dis lalu.

Khalid memang sebelum ini menganggotai Umno dan pernah dilantik mengetuai Perbadanan Nasional Berhad (PNB) sebagai ketua pegawai eksekutifnya.

Bagaimanapun beliau mengubah haluan politik menyertai PKR pada 2006 kerana yakin dengan gerakan reformasi yang diperjuangkan parti berkenaan.

PKR kemudian membuat gerakan politik untuk menggantikan Khalid sebagai menteri besar pada 2014 membuatkan beliau diketepikan serta dipecat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here