Bekas menteri besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta pimpinan Pas supaya tidak bertelingkah sesama mereka berhubung tawaran yang diberi kepada beliau sebelum ini.

Dalam status akaun Facebook miliknya petang tadi, Abdul Khalid menyatakan terdapat laporan pemimpin Pas Selangor seolah-olah memprotes tawaran yang diberi kepadanya oleh pemimpin Pas sebelum ini.

Beliau turut menjelaskan sokongannya kepada Pas bukanlah untuk mendapatkan status dan jawatan.

“Ada laporan mengatakan terdapat pemimpin Pas Selangor protes tentang tawaran yang dibuat kepada saya. Tidak perlulah mereka bertelingkah dan berasa gusar tentang perkara itu kerana sudah saya nyatakan saya tidak akan bertanding pada PRU14.

“Saya juga mahu nyatakan bahawa sokongan saya kepada Pas bukanlah untuk status atau jawatan. Pencapaian saya setakat ini Alhamdulillah, saya amat bersyukur dan tiada keperluan untuk menambah apa-apa lagi,” katanya menerusi status dimuat naik di Facebook miliknya, petang tadi.

Tambahnya, beliau hanya mahu melakukan amal demi pembangunan ummah dan negara.

“Sekarang ini saya hanya mahu melakukan amal demi pembangunan ummah dan negara. Sebab itulah saya menyokong Pas kerana ia sebuah parti yang berasaskan kebajikan dan membuat kebaikan tanpa rasa takut dan tanpa mengharapkan balasan.

“Saya nampak ada pihak yang tidak senang dengan keakraban saya bersama Pas tetapi saya percaya rakyat boleh membaca antara kebenaran dan hasutan,”katanya.

Terdahulu, Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, parti itu sedia beri laluan kepada Abdul Khalid bertanding tanpa syarat, namun terpulang kepada kesediaan Adun Pelabuhan Klang itu.

Menurutnya, antara faktor yang menjurus kepada kesediaan Pas Selangor itu adalah hubungan baik antara Pas dan Abdul Khalid sebelum ini termasuk sokongan Pas dalam melantik beliau sebagai menteri besar Selangor.

Bagaimanapun, Naib Presiden Pas Datuk Iskandar A Samad menyatakan keputusan memberi sokongan kepada Abdul Khalid bertanding perlu perbincangan secara terperinci dan meluas di dalam parti.

Iskandar berkata, biarpun bertanding bukan atas tiket Pas namun keputusan penting itu perlu ada satu perbincangan dan sehingga kini tidak pernah dibincangkan lagi.-SN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here