Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyatakan pendirian tidak menyertai Pas sebagai ahli tetapi berjanji akan membantu parti itu berkempen pada PRU14 nanti.

Khalid berkata, beliau bergerak sebagai individu bebas dengan memberi sokongan kepada Pas atas dasar kepentingan ummah bagi memastikan Selangor tidak dikuasai DAP.

Menurutnya, Pas mempunyai peluang cerah untuk mentadbir negeri ini dengan pemimpin bertanggungjawab dan amanah.

“Ada yang bertanya kenapa saya tidak masuk Pas…saya tak perlu masuk Pas tapi bekerja dengan Pas.

“Kalau saya masuk Pas, saya akan mengubah struktur dalam Pas dan orang cakap saya masuk Pas sebab nak pangkat dan jawatan, jadi biar saya bebas dalam perkara ini,” katanya pada ceramah umum Pas memimpin kerajaan baru Selangor selepas PRU14, semalam.

Khalid berkata, Pas diminta bersabar dengan sebarang kemungkinan cabaran menjelang PRU14 apabila akan ‘dicucuk’ dari pelbagai pihak dengan kenyataan diputarbelitkan.

Menurutnya, pada PRU13 terdahulu, segelintir pihak menjangkakan Pakatan Rakyat akan kalah di negeri ini berikutan Pengerusi Umno Selangor ketika itu disandang Datuk Seri Najib dengan sejumlah peruntukkan hampir RM15 juta.

“Kita hanya belanja RM1.3 juta untuk kempen pilihan raya tetapi kita tetap menang.

“Maknanya duit bukan penentu untuk menang tetapi kita kena ada duit mencukupi untuk menghadapi pilihan raya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here