Seluruh mata pemerhati politik dan rakyat Malaysia kini bertumpu sepenuhnya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk melihat dan mendengar aksi, reaksi, suara dan pandangan pemimpin dan perwakilan parti utama di Malaysia, UMNO. Pada hari ini berlangsung perbahasan di peringkat pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri dan ketua di setiap pergerakan ini hadir dengan wacana dan perbahasan penuh idea yang disampaikan penuh bersemangat bagi membakar kekuatan setiap ahli pergerakan masing-masing.

Ucapan yang paling ditunggu setiap tahun sudah tentu menjadi milik Ketua Pemuda UMNO yang juga Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar atau terkenal dengan gelaran KJ. Beliau kini sudah mencapai status tokoh yang digemari dalam kalangan anak muda melalui penampilan bersahaja dan idea segar yang mampu mendekatkan golongan muda terhadap UMNO.

Butir ucapan Khairy di setiap Perhimpunan Agung UMNO tidak pernah menghampakan, malah memberikan isi penting dalam menyingkap keperluan perjuangan UMNO dengan realiti politik semasa yang harus didepani. Pada Perhimpunan kali ini, Khairy tampil dengan corak terbaik beliau melalui pendekatan menyatukan seluruh barisan Pemuda untuk menjadi barisan hadapan dalam mempertahankan parti keramat ini.

Khairy mahu Pemuda UMNO memberi sokongan tanpa syarat dan penuh semangat kepada Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Naib Presiden yang kini menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Khairy memberikan satu keyakinan kepada Pemuda untuk memberikan sepenuh kepercayaan kepada kedua-dua pemimpin ini menerajui UMNO bagi berdepan cabaran pilihan raya umum akan datang.

Ucapan Khairy juga memberi isyarat jelas bahawa Pemuda kini menyokong Zahid untuk muncul sebagai orang nombor dua UMNO tanpa sebarang syarat dan pertandingan. Ini ialah ucapan perpaduan terpenting untuk UMNO. Khairy berjaya meletakkan garis yang tepat untuk UMNO memberi fokus kepada cabaran dan musuh sebenar. Ucapan Khairy ini ialah ucapan mahu UMNO muncul sebagai parti paling dominan di Malaysia.

Apa yang diharapkan selepas mendengar amanat Khairy ini, ahli UMNO secara umumnya harus berhenti daripada bercakaran mengenai gosip jawatan dalam parti berkenaan. Sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya untuk menyerang lawan politik sebenar iaitu parti pembangkang. Pengukuhan UMNO dari dalam ialah aspirasi terpenting yang diutarakan Khairy dan ini ialah apa yang wajar dilakukan UMNO buat masa sekarang.

Penekanan terhadap kepentingan parti jauh meninggalkan kepentingan individu juga melihatkan bagaimana Khairy cuba mencorak UMNO menjadi parti yang lebih menekankan keupayaan mengukuhkan organisasi berbanding melihat UMNO sebagai batu loncatan untuk kemajuan politik sendiri. Falsafah dan pemikiran seperti ini yang dilontarkan oleh seseorang yang bergelar Ketua Pemuda UMNO amat berkesan bagi memastikan UMNO terus bernafas dengan udara yang segar bagi menjadi pelindung penting kepada kesejahteraan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here