Khairy

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan tokoh perpecahan orang Melayu dalam politik kerana ‘berjaya’ mewujudkan pelbagai parti serpihan bagi menentang UMNO sejak dahulu lagi.

Katanya, setiap kali adanya perpecahan orang Melayu, watak kedua-dua mereka pasti ada dan sudah tiba masanya untuk mereka berundur daripada politik.

“Kedua-dua mereka juga merupakan bekas Presiden dan Timbalan Presiden UMNO satu ketika dahulu. Timbalan itu juga yang pernah dipecat dan dipenjarakan sendiri oleh Presiden hingga berlakunya perpecahan orang Melayu sehingga hari ini. Kini mereka sudah ‘berbaik’ atas dasar menyelamatkan diri kerana takut dengan kebenaran yang akan terbongkar terutamanya isu skandal kerugian Bank Negara ketika kedua-duanya menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewa­ngan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Pu­teri UMNO Bahagian Wangsa Maju di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr. Mohd. Shafei Abdullah.

Khairy berkata, ‘ketokohan’ Dr. Mahathir dan Anwar juga boleh dikaitkan dengan watak Penasihat DAP Lim Kit Siang yang juga antara yang bertanggungjawab dalam perpecahan kaum melibatkan orang Melayu dan Cina.

Menurutnya, watak kesemua mereka perlu segera dihentikan kerana ia mengundang perpecahan dalam kalangan rakyat.

“Wajib bagi semua ahli UMNO untuk menolak kesemua mereka dan mengajar mereka dengan kekuatan UMNO serta Barisan Nasional (BN) dengan memenangi pilihan raya akan datang,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata, sudah masanya untuk semua ahli dan pemimpin UMNO untuk mengubah diri untuk lebih fokus dalam membantu rakyat dari pelbagai aspek terutamanya kepada golongan menengah dan pertengahan.

Menurutnya, golongan tersebut tidak mendapat banyak ‘bantuan’ daripada kerajaan seperti BR1M, pinjaman Mara dan sebagainya hinggakan mereka merasa diri mereka tidak memerlukan UMNO.

Tambahnya, setiap ahli UMNO perlu menanam lima sikap utama bagi menarik masyarakat pasca moden ketika ini dengan cara bersih, kompeten, prihatin, kontemporari dan juga berdaya saing.

“Lima konteks itu perlu diserap oleh setiap ahli dan pemimpin UMNO agar golongan itu tidak memandang rendah kepada kita apabila melihat komitmen yang ditampilkan dalam memperjuangkan orang Melayu,” katanya. – UTUSAN –

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here