Raja pecut negara Khairul Hafiz Jantan muncul sebagai manusia terpantas di rantau Asia Tenggara selepas meraih pingat emas acara 100m Sukan SEA di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Pelari berusia 19 tahun dari Melaka, muncul juara selepas melintas garisan penamat acara riben biru itu dalam masa 10.38s, mengatasi juara bertahan Eric Cray dari Filipina yang terpaksa berpuas hati dengan tempat kedua dengan catatan 10.43s.

Peserta dari Thailand, Kritsada Namsuwun yang turut mencatatkan 10.43s terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa berdasarkan photo finish, manakala seorang lagi wakil negara, Jonathan Nyepa dari Sarawak menamatkan larian di tempat kelima dalam masa 10.66s.

Bagaimanapun, hasrat Khairul Hafiz, pemilik rekod kebangsaan dengan masa 10.18s itu untuk memecahkan rekod Sukan SEA milik Suryo Agung Wibobo (10.17s) dari Indonesia yang dicatatkan pada edisi 2009 di Laos tidak kesampaian.

khairul hafiz jantan juara

Khairul Hafiz mara ke final selepas mencatatkan masa terpantas pada pusingan separuh akhir kedua dengan catatan masa 10.34s, manakala Jonathan pula mencatatkan 10.60s pada separuh akhir pertama.

Esok Khairul Hafiz akan beraksi dalam acara 200m.

Sementara itu, bagi acara100m wanita, ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli meraih pingat perak selepas menamatkan larian dalam masa 11.74s.

Pingat emas acara itu menjadi milik peserta dari Vietnam, Le Tu Chinh (11.56s) manakala Shanti Pereira dari Singapura memenangi gangsa dengan 11.76s.

Seorang lagi wakil negara, Siti Fatimah Mohamad terpaksa berpuas hati di tempat kelima dengan catatan 11.85s. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here