KUALA LUMPUR, 2 Sept – Penyusutan nilai ringgit memberi kesan minimum ke atas projek pembinaan rel yang sedang dijalankan dan pada masa depan memandangkan kontraktor perlu mengawal kos bahan susulan ketidaktentuan tukaran asing.

Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Datuk Seri Judin Abdul Karim berkata, peralatan landasan, yang biasanya diimport dalam mata wang dolar Amerika Syarikat, akan memberi kesan terhadap kemampuan pembelian jika ringgit terus susut.

Bagaimanapun, kebanyakan bahagian bahan lain juga dipasang di peringkat tempatan, katanya.

“Kebanyakan kerja yang dilakukan untuk pembinaan landasan adalah kerja-kerja awam melibatkan bahan tempatan.

“Ini juga dapat mengurangkan kesan berkenaan, dengan itu adalah penting untuk mengeluarkan bahan seumpama itu di dalam negara sebanyak mungkin,” katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Rail Business Asia 2015, acara pameran dan dailog perdagangan tahunan serantau untuk industri rel di sini.

Judin berkata dengan lebih banyak pembinaan rel kereta api yang akan dilaksanakan sepanjang Rancangan Malaysia Kesebelas, penggiat tempatan perlu memajukan keupayaan dan kebolehan dalam perniagaan pembinaan itu.

Penggiat industri dijangka akan lebih banyak terlibat dalam pembinaan jajaran Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, Jajaran Ketiga Transit Aliran Ringan dan landasan berkembar utara-selatan dalam tahun-tahun akan datang, katanya.

“Selepas semua projek ini siap, akan terdapat banyak kerja-kerja penyelenggaraan. Oleh yang demikian, syarikat perlu berupaya melakukan kerja-kerja ini,” katanya.

Judin berkata rel berkelajuan tinggi sentiasa mempunyai impak positif kepada negara, seperti di negara-negara membangun, ia membantu membangunkan antara bandar-bandar dan memberi kebaikan untuk pembangunan ekonomi sosial.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pembangunan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD), Dr Prodyut Dutt, berkata projek kereta api berkelajuan tinggi Malaysia-Singapura dijangka siap pada 2022.

“Kedua-dua negara masih di peringkat kajian awal dan sesi perundingan. banyak yang perlu diselesaikan sebelum proses tender.

“Kami menjangkakan kerja-kerja untuk projek itu akan mengambil masa kira-kira lima tahun dan jika lewat daripada itu, ia perlu diumumkan pada 2017,” kata Dutt.

Mengenai kos projek berkenaan, Dutt berkata, sehingga tender selesai, SPAD tidak akan dapat memberi anggaran.

Rail Business Asia adalah anjuran UBM Asia, sebuah organisasi penganjur acara perdagangan terbesar di Asia bersama-sama SPAD dan CIDB.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here