Bajet 2018

BULAN Oktober pastinya dinantikan oleh segenap lapisan masyarakat kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan membentangkan Bajet 2018 pada pada 27 Oktober ini.

Semua pihak pastinya teruja menanti pengumuman Bajet 2018 itu.

Sebagaimana bajet sebelum ini, sudah tentu akan ada khabar gembira untuk rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah.

Perdana Menteri sendiri sudah memberikan sedikit gambaran dan bayangan bahawa bajet kali ini ada ‘berita gembira’ dan penambahbaikan untuk 1.6 juta kakitangan awam.

Apa yang diharapkan oleh rakyat adalah bajet ini akan mengambil kira segala pandangan, pendapat dan cadangan yang telah diberikan oleh orang ramai menerusi pelbagai forum dan platform.

Perdana Menteri sendiri telah meminta rakyat mengemukakan pandangan bagi memastikan suara dan kehendak rakyat dimasukkan dalam bajet itu.

Apakah tumpuan yang akan diberikan oleh kerajaan dalan Bajet 2018?

Tumpuan Bajet 2018 perlu kepada usaha menjaga kebajikan hidup rakyat.

Isu-isu berkaitan peningkatan kos sara hidup, keperluan perumahan bagi golongan miskin, berpendapatan rendah dan sederhana serta pelbagai bantuan sara hidup untuk golongan yang sama sudah pasti menjadi keutamaan.

Bajet 2018 juga tidak boleh melupakan kumpulan lain yang selama ini menjadi pe­nyumbang kepada kemakmuran dan kesejahteraan ekonomi negara.

Jika melihat kepada Bajet 2017, bajet itu bertemakan ‘Menjamin Perpaduan dan Pertumbuhan Ekonomi, Menghemah Perbelanjaan Inklusif, Mensejahtera Kehidupan Rakyat Seluruh’.

Bajet 2017 memperuntukkan RM260.8 bilion iaitu peningkatan 3.4 peratus daripada pengubahsuaian Bajet 2016.

Peruntukan sebanyak RM214.8 bilion pula bagi perbelanjaan mengurus dan RM46 bilion untuk perbelanjaan pembangunan

Selain itu, RM77.4 bilion untuk emolumen serta RM32 bilion untuk perkhidmatan dan bekalan

Di bawah peruntukan pembangunan, sektor ekonomi menerima agihan tertinggi RM25.9 bilion, diikuti sektor sosial RM12.2 bilion, keselamatan RM5.3 bilion dan pentadbiran RM2.5 bilion.

Antara projek dan program kesejahteraan rakyat yang diberi keutamaan adalah memasang lampu jalan, membina dan menaik taraf jalan kampung, menyelenggara jalan negeri, membina dan membaik pulih rumah usang serta daif selain meningkatkan bekalan air bersih dengan melibatkan peruntukan lebih RM7 bilion.

Turut dilaksanakan, Projek Mesra Rakyat dengan peruntukan RM800 juta bagi menaik taraf dan membina surau, titi, parit, balai raya, pasar dan gerai kecil serta 69 projek tebatan banjir dengan peruntukan RM695 juta.

Peningkatan kadar insentif Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM1,200, RM900 dan RM450 dengan peruntukan keseluruhan RM6.8 bilion pasti disambut gembira oleh kira-kira tujuh juta penerima.

Sudah tentu, rakyat mengharapkan Bajet 2018 akan lebih baik daripada Bajet 2017 dan kerajaan juga pastinya akan memastikan bajet kali ini lebih baik dan apa yang lebih penting memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

Menteri kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sudah memberikan bayangan yang boleh dianggap berita gembira untuk rakyat.

Antara lain beliau memberitahu kerajaan tidak merancang menaik­kan cukai dalam bajet tersebut kerana langkah itu akan membebankan lagi rakyat yang ketika ini mengalami peningkatan kos sara hidup.

Kalaulah apa yang dikatakan oleh Abdul Ghani menjadi ke­nyataan, sudah tentulah ia akan menggembirakan rakyat ketika kos sara hidup dikatakan menjadikan bualan di semua peringkat.

Sememangnya wajar jika langkah menaikkan cukai tidak dilakukan, sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada bagaimana mahu me­ngurangkan kos sara hidup rakyat khususnya bagi mereka yang berpendapatan rendah.

Perdana Menteri pastinya sedang berusaha mencari kaedah untuk mengurangkan kesan kenaikan kos itu dalam belanjawan tahun depan.

Apa diharapkan, kerajaan tidak akan melakukan langkah untuk populis seperti mana dilakukan oleh pembangkang yang menjanjikan ‘bulan bintang’ semata-mata demi meraih kuasa.

Bajet 2018 sudah pasti akan dibentangkan mengikut kemampuan kerajaan dan paling penting menterjemahkan bajet untuk mensejahterakan rakyat.

Sememangnya rakyat menantikan pembentangan bajet itu dan sebagai sebuah kerajaan prihatin serta bertanggungjawab kerajaan di bawah kepemimpinan Najib pasti tahu apa yang perlu dilakukan.

Rakyat pasti teruja dan bersyukur dengan berita yang bakal diumumkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here