Kim Jong-nam

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa keterangan jelas menunjukkan perbuatan dua wanita warga asing yang menyapukan cecair beracun dikenali sebagai VX ke muka Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, telah menyebabkan kematiannya.

Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor Muhamad Iskandar Ahmad berkata, pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan bahawa si mati (Kim Jong-nam) berada di Balai Berlepas Klia2, ketika tertuduh pertama iaitu warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan tertuduh kedua, warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, menghampirinya dan terus menyapukan cecair beracun itu ke muka dan mata Jong-nam.

“Keterangan pakar akan dikemukakan untuk membuktikan kesan racun VX merupakan sebab kematian si mati dan peluang untuk diselamatkan adalah tipis,” katanya dalam ucapan pembukaan pendakwaan pada perbicaraan hari pertama kes Siti Aisyah dan Doan.

Kedua-dua wanita itu didakwa bersama-sama empat yang lain yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 9 pagi, 13 Februari tahun ini.

Muhamad Iskandar berkata, perbuatan kedua-dua tertuduh menunjukkan niat untuk menyebabkan kematian si mati kerana keadaan si mati adalah biasa sebelum muka dan matanya disapu dengan cecair beracun itu.

Katanya keterangan juga menunjukkan selepas kedua-dua wanita itu menyapu sesuatu ke muka dan mata mangsa, mangsa  terus pergi ke pegawai bertugas di Kaunter Khidmat Pelanggan untuk mengadu dan pegawai bertugas kemudian membawa mangsa berjumpa dengan seorang anggota polis sebelum membawanya ke klinik di terminal KLIA2.

“Walaubagaimanapun, si mati meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya bagi mendapatkan rawatan lanjut. Mayat si mati telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat dan sebab kematian si mati yang dinyatakan oleh pakar patalogi ialah ‘acute VX (Nerve Agent) poisoning’,  katanya.

Beliau juga berkata, pendakwaan akan mengemukakan keterangan mengenai peranan empat orang  lagi yang masih bebas apabila perbuatan kedua-dua tertuduh dengan  latihan “prank”  yang diselia oleh empat orang masih bebas itu menunjukkan niat bersama mereka untuk menyebabkan kematian si mati.

Katanya ini kerana keadaan mangsa adalah biasa sebelum muka dan matanya disapu dengan cecair beracun itu.

“Latihan prank yang dilakukan tertuduh pertama dan kedua dengan kehadiran empat orang lagi yang masih bebas adalah persediaan untuk memastikan niat bersama semua untuk membunuh si mati,” katanya.

Beliau berkata, dalam membuktikan bahawa kedua-dua tertuduh adalah orang yang melakukan dan melaksanakan pembunuhan terhadap si mati, pihak pendakwaan akan mengemukakan keterangan langsung, keterangan mengikut keadaan, keterangan pakar, santifik dan keterangan dokumentar.

Selain itu beberapa keterangan lain akan dikemukakan seperti beberapa barang kes yang dijumpai dan dirampas untuk membuktikan bahawa tertuduh pertama dan kedua bersama empat orang lagi yang masih bebas telah membunuh si mati.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas ia dibacakan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin.

Kedua-dua tertuduh  masing-masing menggelengkan kepala selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa Indonesia dan Vietnam. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Peguam Gooi Soon Seng mewakili Siti Aisyah, manakala  peguam Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Naran Singh mewakili Doan.

Jong-nam dilaporkan berada di KLIA2 pada 13 Februari untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita menghampirinya dan tiba-tiba menyapu mukanya dengan cecair bertoksik yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam, yang melakukan penerbangan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya. Beliau datang ke Malaysia pada 6 Februari.- Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here