Mata penganut Islam seluruh dunia kini bertumpu di Istanbul apabila Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan memanggil Sidang Kemuncak Luar Biasa, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan kesan dan akibat tindakan melulu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara haram Israel. Tindakan Trump yang dilakukan tanpa memikiran kesan jangka panjang itu bukan sahaja mengundang kritikan negara-negara Islam, tetapi negara-negara utama dunia yang lain.

Apa yang dilaksanakan Trump itu bukanlah satu perkara baru yang dicita-citakan AS dan Israel, sebaliknya telah cuba dilaksanakan oleh setiap Presiden AS yang bertanding, namun Trump dilihat melanggar segala normal perbincangan antarabangsa dan melaksanakan keputusan berkenaan secara bersendirian. Lebih menghangatkan suasana apabila Presiden AS ke-45 itu bertegas mahu mendirikan kedutaan AS di Baitulmuqaddis sebagai sebahagian daripada rupa bagaimana AS kini memihak kepada Israel dalam perebutan kota suci itu.

Ini bukanlah satu perkara baru untuk dilihat bagaimana Trump sedang memperkecil peranan dan keupayaan negara-negara Islam. Sikap anti-Islam yang dipamerkan beliau juga semakin jelas dan kini terpulang kepada pemimpin-pemimpin OIC untuk mempamerkan sikap terhadap usaha buruk AS itu. Adakah suara OIC mempunyai peranan dalam memastikan Trump menarik semula keputusan beliau? Atau suara OIC hanya satu formaliti yang tidak mampu memberikan apa-apa kesan.

OIC pada kali ini dipimpin oleh Turki dan ketegasan yang dipamerkan Erdogan sebenarnya merupakan satu kelegaan terpenting buat dunia Islam. Sudah lama kita tidak melihat bagaimana sebuah negara Islam benar-benar mempamerkan konfrontasi terhadap AS dan Israel dan Erdogan kini berjaya melakukannya. Tanpa berselindung Erdogan menyifatkan Israel sebagai negara pengganas dan sebaik sahaja Trump mengumumkan status Baitulmuqaddis di mata AS, Erdogan tanpa bertangguh terus memanggil siding khas bagi membolehkan OIC membuat ketetapan segera terhadap sikap AS itu.

Sidang khas ini bukan sahaja menjadi ruang pemimpin-pemimpin Islam mempamerkan slogan anti-Israel atau anti-AS secara tipikal melalui kritikan yang sudah biasa kita dengar. Sidang khas OIC ini memerlukan kesepakatan dalam bentuk tindakan untuk membuktikan kepada Israel dan AS bahawa dunia Islam sedang bersatu untuk mempertahankan Masjid Al-Aqsa. Walaupun diakui kuasa yang ada pada OIC tidak mencukupi untuk melakukan tindakan drastik, namun ketegasan melalui tindakan mengikut saluran yang ada harus dimaksimumkan dan OIC pada kali ini harus dilihat tegas dan cenderung untuk mempertahankan Palestin.

Satu resolusi juga perlu diperakui oleh semua anggota OIC tanpa mengira perbezaan mazhab atau ideologi politik. Ini soal kemanusiaan dan sejagat yang memerlukan OIC bersatu dan bertindak secara kolektif. Suara bersama-sama OIC dalam hal ini sebenarnya penting demi menunjukkan kepada Israel dan AS bahawa Palestin kini merupakan agenda perjuangan terpenting buat OIC. Keputusan OIC untuk menolak pengumuman Trump itu merupakan keputusan yang ditunggu-tunggu oleh umat Islam di seluruh dunia dan pemimpin-pemimpin yang bersidang di Istanbul harus memastikan seluruh dunia Islam tidak kecewa. Malah sebarang ketetapan yang dibuat OIC berkenaan isu ini wajib dijadikan asas terpenting untuk sebarang resolusi susulan dibuat di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketegasan Malaysia dalam isu Palestin sudah semestinya tidak lagi wajar untuk dipertikaikan. Malah kesegeraan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk turut serta dalam sidang khas OIC ini menunjukkan bagaimana Malaysia mempamerkan sikap sentiasa bersedia untuk mempertahan Baitulmuqaddis dan Palestin. Malah semasa Perhimpunan Agung UMNO berlangsung baru-baru ini begitu ramai delegasi dari Palestin datang bertemu pemimpin Malaysia dan Najib sendiri. Keadaan ini jelas menunjukkan bagaimana Malaysia dipandang sebagai negara penting yang sentiasa berada di belakang Palestin.

Di New York baru-baru ini resolusi Malaysia berhubung gerakan kesederhanaan global telah dibantah AS dan Israel dan ini menunjukkan bagaimana Malaysia sedang berada di ruang terbaik untuk mempamerkan sikap tegas bagi memastikan Baitulmuqaddis terus kekal di bawah Palestin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here