Parti-parti komponen di dalam Pakatan Harapan (PH) sering mencari jalan dan helah untuk menyalahkan pihak Kerajaan dan Barisan Nasional (BN) untuk apa-apa perkara yang tidak memihak kepada mereka. Cara sebegini sebenarnya dilihat PH sebagai jalan paling singkat untuk meningkatkan kebencian rakyat dan menjadikan Kerajaan sebagai tidak popular. Modus operandi politik sebegini bukan satu contoh matang yang diperlukan dan ini hanya akan membunuh keupayaan Malaysia untuk muncul sebagai negara maju khasnya dalam sistem demokrasi.

Menyalahkan Kerajaan tanpa melihat semula pada diri sendiri ialah kesilapan terbesar yang dilakukan PH. Sedangkan banyak hal yang tidak memihak kepada PH berlaku kerana kesilapan sendiri. Ditambah dengan ego yang ada dan keengganan untuk mengakui kelemahan sendiri, membuatkan PH muncul sebagai gabungan politik yang sentiasa menganggap diri sebagai selalu benar dan tidak pandai berbuat salah. Ini penyakit yang perlu dijauhi.

Setiap hari apabila kita membaca tulisan-tulisan pro-PH yang menyentuh tentang pendaftaran gabungan berkenaan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk muncul sebagai gabungan politik sah seperti BN, kita akan dihadapkan dengan kecaman tidak berasas yang mendakwa Kerajaan menjadi dalang kepada kelambatan pendaftaran berkenaan di samping Kerajaan juga dikatakan sengaja membiarkan ROS melengah-lengahkan kelulusan terhadap proses pendaftaran ini.

Ternyata PH terlalu biasa berpolitik tanpa mengira keadaan dan tidak mampu membezakan tugas pentadbiran dan tugas politik. ROS itu sendiri diketuai oleh penjawat awam yang berkhidmat untuk kepentingan semua pihak tanpa mengira lambing politik. Setiap permohonan pendaftaran yang dihantar akan dinilai berdasarkan kepada prosedur yang ditetapkan. Kelulusan akan diberikan kepada permohonan yang mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

Untuk hal berkaitan pendaftaran PH sebagai gabungan politik yang sah, masalah utama yang menghalang daripada permohonan ini diluluskan datangnya dari dua parti komponen utama di dalam gabungan berkenaan. Pertama sehingga tulisan ini ditulis, ROS masih belum menerima laporan akhir dan senarai terkini keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang diadakan pada 12 November lalu. Senarai ini penting untuk sebahagian daripada dokumen yang diperlukan untuk menilai permohonan mendaftarkan PH.

Selain itu, masalah terbesar yang menghalang PH daripada didaftarkan ialah kegagalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk mengadakan Pehimpunan atau Mesyuarat Agung walaupun telah ditubuhkan lebih setahun lalu. Ini ialah kegagalan terbesar di pihak PH dan Tun Dr Mahathir selaku Pengerusi BERSATU harus sedar tentang kesilapan sendiri dan tidak wajar untuk hanya menyalahkan pihak lain tanpa sebarang bukti kukuh.

PH hari ini perlu belajar menerima kesilapan sendiri dan menyemak semula organisasi sendiri sebelum membuat sebarang tuduhan. Tiada pihak yang mahu mensabotaj PH untuk muncul sebagai satu gabungan. Jika benar-benar mahu semua urusan berjalan lancar, setiap syarat yang ditetapkan harus dipatuhi dan jika semuanya sudah diikuti seperti diaturkan maka tiada masalah akan timbul. PH perlu berhenti daripada menyalahkan pihak lain dalam urusan pendaftarannya dan segera membaiki kesilapan sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here