Sejak penubuhan Parti Amanah Negara (AMANAH), politik di negeri Kelantan dilihat menimbulkan pelbagai isu yang menarik untuk diteliti. Hubungan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dengan AMANAH juga ibarat anjing dengan kucing dan selalu bercakaran. Hal ini boleh kita fahami kerana AMANAH ialah parti serpihan PAS dan ditubuhkan atas dasar kecewa terhadap kepimpinan PAS kini. Di pihak PAS pula AMANAH ialah pengacau yang tidak sewajarnya wujud dalam arena politik tanah air.

Ramai penganalisis melihat AMANAH ialah halangan utama selain Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang menyebabkan PAS enggan menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), walaupun dalam keadaan tidak formal. Malah PAS juga cuba membentuk keyakinan sendiri melalui Gagasan Sejahtera dan mahu dilihat sebagai parti yang signifikan dalam menentukan kedudukan politik negara pasca pilihan raya umum ke-14.

Dalam situasi hari ini, kita melihat bagaimana pergeseran PAS dan AMANAH semakin kritikal dan isu terbaru mengenai perebutan premis di Wisma Tok Guru di Kota Bharu, Kelantan menjadikan hubungan kedua-dua parti semakin sukar untuk menemui jalan damai. PAS mendakwa AMANAH tidak mempunyai hak ke atas premis berkenaan, sementara AMANAH mempertahan premis berkenaan sebagai kepunyaan mereka.

Dalam keadaan ini, tiada parti lain yang bakal beroleh manfaat kecuali UMNO dan Barisan Nasional (BN). Sejak pilihan raya umum 1990, Barisan Nasional sudah kehilangan negeri Kelantan ke tangan PAS. Malah usaha demi usaha yang cuba digerakkan untuk merampas kembali negeri berkenaan menemui jalan buntu. Salah satu faktor terkuat yang menyokong PAS untuk terus bertahan di Kelantan ialah pengaruh dimiliki bekas Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat.

PAS pasca Nik Aziz melihatkan perubahan sikap yang mendadak, khususnya kelunakan terhadap UMNO dan BN serta sikap yang cukup berkeras dan bertentangan terhadap parti-parti di dalam PH. Justeru situasi semasa yang melihatkan sikap berbeza pimpinan PAS dan kemelut yang berlaku antara PAS dan AMANAH amat penting untuk UMNO sebagai permulaan kepada strategi merampas kembali Kelantan.

UMNO dan BN sewajarnya menjauhkan diri dari membuat apa-apa komen terhadap pergeseran dua parti ini, tetapi UMNO dan BN di Kelantan wajar memberi fokus kepada soal pembangunan dan bantuan yang boleh disalurkan kepada rakyat umum di negeri berkenaan. Tumpuan secara teliti dan halus terhadap kepentingan rakyat mampu membuatkan pengundi di Kelantan berfikir kembali. Ini disebabkan PAS dan AMANAH dilihat sedang bergelut dalam isu remeh sementara kepentingan rakyat dilihat terabai.

Sikap PAS yang berbeza juga boleh menjadi titik terpenting ke atas usaha UMNO dan BN untuk mendapatkan kembali Kelantan. Satu usaha bersama-sama boleh dijalinkan bagi memberikan situasi menang-menang kepada kedua-dua parti. PAS kini dilihat berdepan krisis kepimpinan dan keupayaan parti berkenaan untuk mentadbir dilihat tidak sekuat ketika di bawah Nik Aziz. Sehubungan itu, ini merupakan ruang terbaik UMNO dan BN bagi meraih semula sokongan rakyat yang telah hilang.

Untuk pilihan raya umum akan datang, UMNO dan BN perlu berani dan bersedia untuk meletakkan calon bersifat tempatan dan mampu memberikan prestasi terbaik kepada rakyat negeri berkenaan. Namun cabaran terpenting yang harus ditangani oleh UMNO dan BN kini bukan lagi datang dari parti lawan kerana parti lawan sedang berada dalam keadaan lemah di Kelantan.

Cabaran terbesar kini ialah bagaimana UMNO dan BN di Kelantan mahu berdepan dengan pengundi Kelantan yang menetap di luar negeri berkenaan. Misalnya mereka yang menetap di kawasan Kuala Lumpur dan bandar-bandar besar lain tetapi pulang mengundi di Kelantan. Untuk pengundi sebegini mereka tidak terdedah secara besar terhadap isu-isu tempatan, sebaliknya lebih bersedia memberi undi berdasarkan kepada isu-isu nasional.

Sehubungan itu, menjadi satu keperluan penting untuk UMNO dan BN di Kelantan merangka strategi terbaik memenangi keseluruhan hati pengundi di Kelantan, supaya sejarah bakal tercipta untuk merampas kembali negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

 

Penulis artikel : Fuad Shahdan

** Disclaimer : Artikel yang ditulis adalah pandangan peribadi penulis dan tiada kena-mengena dengan kenyataan rasmi Malaysian Access.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here