Mufti Perak dan Pahang membantah keputusan Mahkamah Persekutuan mengetepikan penukaran agama sebelah pihak membabitkan 3 anak seorang guru tadika, M Indira Gandhi oleh bekas suaminya yang memeluk Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, hukum syarak menyatakan jika salah seorang ibu atau bapa beragama Islam, maka anaknya juga seorang Islam.

“Kalau isteri itu Islam, suami tak Islam, maka dapat kepada isteri. Kalau isteri tak Islam, suami Islam, dapat kepada suami. Itu sudah hukum syarak dan dalam agama kita ini, agama (Islam) yang dipakai ialah agama Islam dan Perlembagaan.

“Jadi, sepatutnya dia (Mahkamah Persekutuan) tak boleh ubah,” katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan penukaran agama anak di bawah umur kepada Islam perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Dalam penghakiman bersejarah itu, Mahkamah Persekutuan turut memutuskan mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes penukaran agama anak oleh sebelah pihak.

Keputusan diakhiri dengan pertikaian 9 tahun mengenai hak penjagaan anak antara agama, susulan tindakan bekas suami Indira yang memeluk Islam, Muhammad Riduan Abdullah menukar agama 3 anaknya tanpa pengetahuan ibu mereka pada 2009.

Harussani berkata, 3 anak Indira sepatutnya mengikut agama bapanya, kecuali mereka sudah akil baligh (12-15 tahun bagi lelaki dan 9-12 tahun bagi perempuan) yang membolehkan mereka memilih agama sendiri.

Tiga anak Indira itu berusia 11 bulan, 11 tahun dan 12 tahun ketika mereka diculik Riduan pada 2009. Kini, anak sulung Indira, Tevi Darsiny berusia 21 tahun dan anak lelakinya, Karan Dinish berusia 20 tahun, sementara anak perempuan bongsunya berusia 10 tahun.

Harussani berkata, mahkamah sepatutnya menghormati Perlembagaan negara dan Islam sebagai agama persekutuan.

“Sepatutnya begitulah. Ini seolah-olah negeri ini tidak ada agama,” katanya sambil menyifatkan keputusan mahkamah membatalkan pengislaman 3 anak Indira itu sebagai “menghindukan orang Islam”.

Sementara itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Abdul Rahman Osman turut membantah penghakiman bersejarah itu dengan berkata, ia akan memberi kesan kepada kes lain dalam jangka panjang.

“Kalau ikutkan dari segi syaraknya, apabila salah seorang masuk Islam, kita mengutamakan anak-anak itu terus masuk Islam. Maknanya agama (anak) bawah umur itu mengikut agama salah seorang daripada dia (ibu atau bapa) yang masuk Islam.”

Beliau juga bimbang dengan cara asuhan 3 anak yang sudah memeluk Islam itu di bawah jagaan Indira yang beragama Hindu.

“Itu yang perlu diambil perhatian, kecuali anak yang menyusu tak apalah dipelihara oleh ibu. Tapi dari segi agama, dia tak boleh mempraktikkan agama ibunya, dia kena diasuh dengan cara Islam.”-FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here