SEJAK beberapa hari kebelakangan ini, netizens rancak berkongsi pandangan dan simpati mereka mengenai nasib yang menimpa seorang guru yang lebih dikenali sebagai Cikgu Azizan. Guru tersebut kini sedang menanti perbicaraan di Mahkamah Majistret Seremban 2A pada 19 Disember 2017 iaitu Selasa depan berhubung dakwaan beliau menampar seorang murid darjah lima di SK Taman Semarak (SKTS) di Nilai, Negeri Sembilan.

Terdahulu, ibu bapa murid tersebut telah membuat laporan polis berkaitan insiden tersebut. Laporan itu akhirnya mengheret Cikgu Azizan untuk didakwa dan dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Jenayah pada 31 Oktober yang lalu. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, denda RM2,000 atau kedua-duanya jika dibuktikan bersalah. Cikgu Azizan walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan beliau diikat jamin sebanyak RM500.

Sokongan Terhadap Cikgu Azizan

Dalam pendedahan yang dibuat sendiri oleh Cikgu Azizan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKTS, murid itu ditampar berikutan masalah disiplin yang berat dan telah berulang-ulang sejak sekian lama. Antara kesalahan murid tersebut adalah menghidu gam dalam kawasan sekolah sejak 2016, mengajak beberapa murid lain untuk turut sama terlibat dalam aktiviti tidak bermoral itu, bergaduh, membuli murid-murid yang lain selain turut memanjat pagar sekolah untuk ponteng kelas. Bagi mereka yang prihatin dan cakna, tindakan Cikgu Azizan dalam menampar murid tersebut tiada tujuan lain melainkan untuk mendidik.

Melihatkan guru itu seolah-olah dianiaya, pelbagai pihak mula bangkit dan bangun mempertahankan tindakan Cikgu Azizan selain menyeru pelbagai pihak lain untuk turut sama-sama memperjuangkan atau setidak-tidaknya menyatakan bantahan terhadap proses undang-undang yang terpaksa dilalui guru tersebut. Selain pihak PIBG SKTS sendiri, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) umpamanya menjadi pihak yang paling lantang menyuarakan kebimbangan mereka mengenai isu ini.

Dalam satu bentuk manifestasi sokongan paling jelas terhadap Cikgu Azizan, NUTP telah mengeluarkan kenyataan pada Jumaat lalu bahawa kesatuan itu akan menyediakan khidmat peguam bagi membela guru itu. Dalam masa yang sama, NUTP turut menyeru semua guru di seluruh Malaysia untuk turun dan hadir sendiri ke mahkamah di Seremban Selasa ini sebagai menyatakan sokongan moral mereka kepada Cikgu Azizan.

Dilema Golongan Pendidik Di Malaysia

Pendakwaan terhadap Cikgu Azizan membuktikan betapa dunia pendidikan di Malaysia hari ini berdepan satu dilema yang cukup kronik. Jika dahulu, para guru diberikan “kuasa” oleh ibu bapa untuk mendidik dan membentuk anak-anak mereka, hari ini situasinya cukup berbeza. Berapa ramai guru yang ada pada hari ini nampaknya sudah tidak berani lagi untuk “menyentuh” murid-murid di sekolah berikutan faktor sesetengah ibu bapa yang pada bila-bila masa boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Atas faktor ibu bapa yang terlalu memanjakan dan mempercayai anak mereka secara membabi buta, maka guru pada hari ini nampaknya lebih berperanan untuk “memberitahu” daripada mendidik dan mengajar murid-murid dalam erti kata yang sebenar. Alangkah malangnya apabila situasi dan keadaan sebeginilah yang melahirkan murid yang tiada adab, buruk akhlak dan bermasalah. Malah, pihak PIBG SKTS sendiri menzahirkan kerisauan mereka mengenai tindakan ibu bapa murid itu yang berpotensi menyebabkan kes disiplin menjadi lebih parah dan merebak dalam kalangan murid-murid di sekolah tersebut. Situasi yang menimpa Cikgu Azizan kini tentunya akan berkait langsung dengan kerisauan para guru untuk membentuk disiplin anak-anak murid bukan sahaja di SKTS, malah di semua sekolah di seluruh Malaysia selepas ini.

Sikap Ibu Bapa Yang Mengecewakan

Kes yang menimpa Cikgu Azizan ini bukanlah yang pertama seumpamanya berlaku di negara ini. Rakyat Malaysia sedia maklum bahawa memang sudah terdapat beberapa kes dalam dunia pendidikan selama ini di mana beberapa guru telah disaman oleh ibu bapa, waris ataupun penjaga atas pelbagai sebab. Dalam beberapa kes yang telah berlalu, ada keputusan mahkamah yang meyebelahi guru-guru terbabit, dan ada juga keputusan yang akhirnya memihak kepada plaintif ataupun penjaga. Rakyat khususnya para guru di Malaysia akan mengikuti kes Cikgu Azizan ini secara dekat dan teliti. Tentulah, apa sahaja keputusan yang dibuat mahkamah kelak akan menjadi satu duluan ataupun “precedent” dalam menetapkan perjalanan etika pendidikan di sekolah selepas ini.

Ianya sangat menyedihkan dan mengecewakan untuk melihat sikap segelintir ibu bapa yang begitu cepat mengambil langkah memperbesarkan kes-kes sebegini sehingga ke peringkat mahkamah sedangkan kesalahan itu datangnya daripada anak mereka sendiri. Jika beginilah sikap yang ditunjukkan oleh mereka, maka tidak hairanlah anak-anak mereka berkelakuan dan bertindak sebegitu rupa. Sikap anak-anak tidak dapat tidak mencerminkan sikap ibu bapanya juga. Jika tidak mahu anak yang sedang “hanyut” itu dibentuk dan dididik oleh guru, untuk apa anak-anak itu dihantar ke sekolah? Kenapa tidak “dididik” sahaja di rumah?

Perkasakan Institusi Perguruan

Akhirnya, sebagai rakyat dan ibu bapa yang prihatin, kita mengharapkan Cikgu Azizan tabah dan bersabar dengan ujian serta nasib yang menimpanya kini. Semoga kemenangan akhirnya berpihak kepada beliau. Kita juga dalam masa yang sama mengharapkan kes-kes sebegini tidak akan mematahkan semangat guru-guru yang lain dan kesemua individu yang berhasrat untuk menjadi pendidik suatu hari kelak. Inilah bentuk cabaran yang perlu dilalui oleh para guru pada masa kini. Entah apa lagi bentuk hukuman yang boleh dikenakan ke atas murid jika sekadar penampar terhadap murid yang terbukti bermasalah sahaja sudah boleh mengheret mana-mana guru ke mahkamah.

Guru adalah aset manusia yang paling penting dalam sesebuah tamadun dan negara. Daripada seorang gurulah lahirnya para belia dan insan hebat yang bakal meneruskan legasi kecemerlangan sedia ada. Maka di pihak kerajaan, pihak yang berkenaan perlu segera memikirkan segala langkah yang sesuai terutamanya daripada aspek perundangan agar profesion perguruan ini tidak lagi sewenang-wenangnya “dipijak-pijak” oleh segelintir pihak dan ibu bapa tidak bertanggungjawab yang hanya tahu memenangkan anak masing-masing. Atas penekanan tersebut, justeru wajarlah institusi perguruan di negara ini diperkasakan, bukan lagi dihakis dan direndah-rendahkan. Rapuhnya institusi ini hanya akan membawa natijah yang malang kepada pembangunan anak bangsa kita pada masa depan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here