Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, polis sedang menyelesaikan kertas siasatan berhubung video mengaitkan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa terbabit dalam skandal dengan seorang wanita.

“Kita berharap dapat selesaikan minggu ini dan ini meliputi semua aspek.

“Saya tak mahu komen berkenaan itu (adakah polis mendapat keterangan Tan Sri Dzulkifli Ahmad) kerana saya telah banyak kali ulang perkara ini,” katanya selepas melancarkan Kempen Cegah Jenayah Ragut dan Seluk Saku di Pusat Beli-belah Pavilion hari ini.

Pada 19 Oktober lalu, peguam negara mengumumkan penubuhan panel khas bagi menyiasat dakwaan Dzulkifli terbabit dalam skandal dengan seorang wanita.

Pada 11 November lalu, Fuzi dilaporkan berkata, polis sudah 2 kali menghantar kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara berhubung siasatan video mengaitkan Dzulkifli, iaitu pada 17 dan 30 Oktober lalu.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata, Jabatan Peguam Negara tidak berpuas hati dengan kertas siasatan membabitkan Dzulkifli yang didakwa menjalin hubungan sulit dengan isteri orang.

Mengulas lanjut, Fuzi turut ditanya jika identiti penyebar video itu sudah dikenal pasti.

“Ianya di bawah forensik (polis). Saya tak boleh dedahkannya.”

Mengulas kertas siasatan yang dikembalikan Jabatan Peguam Negara, beliau berkata, pihaknya sudah mengikut semua arahan yang diberikan.

“Saya rasa kami cuba sedaya upaya untuk selesaikan mana-mana yang patut,” katanya.

Baru-baru ini, satu rakaman kamera litar tertutup tersebar menunjukkan seorang lelaki yang didakwa ialah Dzulkifli dan seorang wanita dikatakan isteri orang berpegang tangan dan memasuki sebuah restoran di Bali, Indonesia, sekitar Julai lalu.

Satu lagi klip video menunjukkan tiket penerbangan, dokumen pendaftaran hotel dan rakaman lain memaparkan pasangan itu serta bagasi dikeluarkan dari sebuah hotel.

Pada 16 Oktober lalu, Dzulkifli mengecam dakwaan itu “kotor” dan “keji”, tetapi berikrar akan meneruskan kempen anti-rasuah dengan agresif.

Wanita itu dan suaminya dilaporkan bercerai September lalu.-FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here