KUALA LUMPUR: Rakyat harus bekerjasama dalam mengurus dan mengatasi sentimen negatif pelabur terhadap pasaran di Malaysia.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani berkata ini kerana faktor sentimen boleh dikawal negara berbanding faktor-faktor luaran lain seperti kejatuhan harga komoditi minyak serta keadaan ekonomi global.

Katanya setiap individu memainkan peranan penting dalam memberikan persepsi yang baik kepada orang luar.

“Rakyat Malaysia kena mainkan peranan untuk pastikan negara kita tidak terjejas oleh kerana politik sebab kita berdepan masalah ekonomi dunia yang tidak menentu. Jadi kita harap semua bersatu padu.”

“Kita boleh mempunyai ideologi politik berbeza tetapi demi Malaysia, kita kena jaga dan pulihkan balik ekonomi kerana sentimen ini tidak beri kebaikan kepada semua. Jadi kita terpaksa bertolak-ansur dalam soal ini.”

Johari berkata ketika ini kerajaan sedang mengatasi isu-isu yang boleh membawa kepada sentimen negatif itu termasuk langkah merasionalisasi 1MDB untuk mengukuhkan lagi keyakinan pelabur luar.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 2015 anjuran Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI).

Sumber: Astro Awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here