APABILA bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memilih untuk terus menghentam PAS sejak akhir-akhir ini, ianya memperlihatkan sebuah kebencian lumat yang ada dalam hatinya terhadap parti Islam tersebut. Dalam ucapan penggulungan beliau pada Mesyuarat Agung Tahunan PPBM Sabtu lalu, Mahathir kembali membangkitkan isu Amanat Haji Hadi dan perkaitannya dengan peristiwa Memali pada 1985 dalam satu lagi usaha beliau untuk memalitkan imej buruk kepada PAS. Terbaru, beliau menuduh pula PAS sebagai pengkhianat berikutan tindakan parti itu yang memilih untuk lebih berbaik dengan UMNO berbanding bekas rakan-rakan dalam pembangkang.

Perkara ini tidaklah mengejutkan. Siri permusuhan yang ada dalam diri Mahathir terhadap PAS adalah satu sejarah yang panjang. Mahathir adalah satu sosok yang tidak akan pernah senang dengan agenda Islam yang dibawa PAS, baik dahulu sehinggalah sekarang. Pendek kata, bekas perdana menteri itu memang begitu “alergik” dengan sistem politik Islam. Maka tepatlah keputusan PAS untuk meninggalkan gabungan pembangkang pada 2015. Jika parti Islam itu masih terus bersama PH, entah bagaimana agenda Islam hendak dibawa, dan entah bagaimana pula Mahathir mahu bermuka-muka dalam hubungannya dengan PAS.

UMNO Mahathir vs. UMNO Najib

Tambah menyakitkan hati Mahathir apabila PAS kini dilihat semakin “galak” bermesra dan berbaik dengan UMNO. Kita tidak perlu berbicara panjang mengenai perkara tersebut kerana hubungan yang kembali jernih itu telah jelas terpampang dan ditunjukkan dalam beberapa majlis dan peristiwa. Himpunan solidariti untuk Rohingya dan Palestin umpamanya menjadi bukti paling jelas. Bagi UMNO, ianya satu perkembangan yang amat positif bagi tujuan penyatuan orang Melayu dan Islam dalam hal yang berkaitan bangsa dan agama suci tersebut. Bagi PAS pula, mereka melihat itulah konsep “ta’awun” yang dianjurkan dalam Islam – iaitu mengambil sikap tolong-menolong sesama Islam dalam perkara kebaikan dan kebajikan.

Di sana tentulah ada sebabnya mengapa PAS begitu terbuka untuk berbaik dengan UMNO di bawah kepimpinan YAB Dato’ Sri Najib Razak, berbanding dengan UMNO di bawah Mahathir dahulu. Rakyat sedia maklum bahawa PAS begitu keras dan lantang terhadap UMNO di bawah Mahathir. Bagi yang mengikuti perkembangan ini, situasi tersebut tidaklah sulit untuk difahami. UMNO di bawah Mahathir adalah UMNO yang secara mentah-mentah menolak agenda Islam PAS. Draf hudud oleh PAS di Kelantan dan Terengganu sebelum ini dibakulsampahkan oleh Mahathir begitu sahaja, menunjukkan betapa tidak bernilainya perjuangan PAS di mata beliau.

UMNO di bawah Najib berbeza sama sekali dalam pendekatan mereka terhadap PAS. Agenda Islam PAS tampak diterima dan disambut baik oleh UMNO walaupun kedua-dua parti itu mungkin berbeza dalam beberapa isu cabang. Penerimaan dan sokongan UMNO terhadap RUU 355 contohnya menjadi satu bukti bagaimana parti itu kini sudah satu langkah ke hadapan dalam mendampingi perjuangan memartabatkan Melayu dan Islam di negara ini. Inilah antara perkara positif yang dilihat PAS dalam UMNO yang ada sekarang. Kedua-dua parti ini mungkin akan terus bermusuh secara politik, tetapi mereka jelas sekali sudah menemui titik persamaan dalam perjuangan negara, bangsa dan agama.

Harapan Pakatan Semakin Tipis

Dalam kritikan dan tohmahannya terhadap PAS, jelas sekali Mahathir tidak boleh menerima hakikat bahawa hubungan baik antara parti Islam itu dengan UMNO hanya akan meranapkan terus harapan beliau untuk menumbangkan Najib dan BN sekaligus. Mana tidaknya, jika sebelum ini pengumuman PAS untuk bertanding di 40 kerusi parlimen pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 kelak sudah cukup memeningkan kepala bekas perdana menteri itu, pendedahan terkini mengenai hasrat parti Islam itu untuk bertanding di hampir 130 kerusi parlimen ternyata semakin menyesakkan dada beliau dengan peluang PH untuk merampas Putrajaya semakin tipis dan semakin jauh pula dari realiti.

Keputusan PAS untuk bersendirian kali ini sudah pasti akan membuatkan kawasan majoriti Melayu mengalami pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dengan parti Islam sendiri. Jika sebelum ini penyertaan PAS ke dalam gabungan pembangkang telah membawa begitu banyak undi Melayu menentang BN, keputusan mereka untuk tidak lagi berpakat dengan gabungan itu juga tentunya membawa keluar begitu banyak undi Melayu Islam daripada pakatan tersebut. Ramai pemerhati politik boleh bersetuju bahawa Melayu selama ini hanya “hidup” di bawah pembangkang dengan jentera dan usaha konsisten PAS.

PAS Bawa Keluar Undi Melayu

Hari ini PAS tidak lagi bersama mereka. Maka secara langsung jentera politik mereka turut terkesan secara langsung. Dengan pertembungan tiga penjuru kelak, undi orang Melayu Islam sudah pasti akan terpecah dan situasi ini paling jelas tidak akan memihak kepada PH di kawasan majoriti Melayu. Mahathir percaya PAS sendiri tahu bahawa ia sukar memenangi mana-mana kerusi Parlimen pun melainkan di Kelantan dan Terengganu. Justeru, keputusannya untuk tetap bertanding melawan BN dan PH di negeri-negeri lain hanyalah disifatkan sebagai pengacau yang akan menipiskan peluang PH menakluki kawasan majoriti Melayu. Undi dan sokongan Melayu terhadap UMNO pula tentu akan lebih solid memandangkan krisis UMNO-PPBM tidaklah seteruk krisis PAS-AMANAH. Inilah yang Mahathir bimbang dan marahkan sangat.

Jelas, kemarahan Mahathir terhadap PAS dalam kerjasamanya dengan UMNO adalah bersandarkan kepada kekalahan yang mungkin terpaksa dihadapi beliau pada PRU nanti. Dalam keterdesakan beliau mempersoalkan kemampuan PAS kali ini, Mahathir tahu bahawa PH sendiri begitu rapuh tanpa sokongan PAS. Parti Islam itulah yang sebenarnya “membantu” DAP dan PKR mencatat prestasi yang baik pada PRU yang lalu. Justeru, keengganan parti Islam itu menyertai PH walaupun setelah dipujuk berkali-kali nyata menambahkan keperitan yang dirasai gabungan itu kini.

Cita-cita Politik Mahathir Bakal Terkubur?

Atas faktor ini, maka kita yakin kemarahan Mahathir terhadap PAS dan kerjasamanya dengan UMNO tidak akan padam. Pilihan PAS kali ini, pada Mahathir, tidak semata-mata menyebabkan PH terpaksa menunggu lebih lama untuk menumbangkan BN, tetapi ianya juga bakal menyebabkan dendam peribadi bekas perdana menteri itu terhadap Najib terus sangkut dan tersekat. Apatah lagi apabila prospek kekalahan PH itu juga akan membantutkan hasrat beliau untuk sekali lagi menjadi perdana menteri.

Dalam masa yang sama, ini bermakna beliau akan terus berhadapan dengan tugasan “menjawab” segala isu mengenai salah laku yang berlaku di bawah pentadbiran beliau selama menjadi perdana menteri sebelum ini. Kekalahan PH pada PRU kelak bermakna bekas perdana menteri itu sudah tidak boleh mengelak untuk bertanggungjawab dalam pelbagai isu yang dibangkitkan selama ini. Ketika Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai skandal forex sudah menemukan hasil mereka, Mahathir tentu gentar dan tidak mahu satu lagi RCI ditubuhkan untuk menyiasat peranan dan penglibatan beliau dalam tragedi berdarah Memali.

Justeru, mendepani PRU yang akan datang, UMNO kini sudah tampak selesa di kawasan majoriti besar Melayu. Pilihan PAS untuk bertarung menentang BN dan PH di sekitar 130 kerusi parlimen kali ini tampak akan terus memecahkan undi Melayu dalam kalangan penyokong pembangkang, sekaligus membuka peluang yang lebih baik buat UMNO dan BN untuk kembali merampas kerusi PH yang memiliki peratusan pengundi Melayu yang signifikan. Inilah kebimbangan Mahathir yang melihat kerjasama UMNO-PAS akan terus menguburkan cita-cita dan nafsu politiknya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here