SHAH ALAM 10 Sept. – Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali ternyata tidak endah dengan desakan DAP supaya partinya mempertimbangkan keputusan untuk meneruskan kerjasama dengan Pas.
Beliau yang juga Menteri Besar berkata, PKR akan terus bekerjasama dengan Pas kerana pendirian tersebut merupakan keputusan parti, bukan peribadi .
Menurutnya, PKR sentiasa mengambil sikap inklusif dan menerima mana-mana parti yang mahu melakukan reformasi.
“Ini pendirian kita. Saya harap semua pihak perlu menghargai kompleksiti dalam berurusan dengan rakan sekutu.
“Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan) sahabat lama kita (PKR) dan DAP telah lama bersama-sama dengan PKR. Bagi kita, DAP rakan yang penting dalam membawa perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri seminar bertajuk Beyond 3R: A More Sustainable Solution For Selangor Waste Management, di sini hari ini.
Semalam, Guan Eng menggesa Mohamed Azmin memperjelaskan kepada penyokong pembangkang berhubung keputusan PKR untuk terus bekerjasama dengan Pas dan menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Pas.
Ketika ditanya tentang kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang didakwa tidak akan terlibat dengan gabungan pakatan baharu, Mohamed Azmin menyifatkannya sebagai hanya pandangan peribadi.
“Itu pandangan dia. PKR bagaimanapun sentiasa mengadakan perbincangan dengan semua pihak,” jelasnya. – UTUSAN

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here