PAS

KEPUTUSAN Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk tidak lagi mengadakan rundingan kerjasama bersama PAS dipercayai dipengaruhi oleh DAP yang mengetuai pakatan itu.

Ini kerana, hubungan kerjasama di antara DAP dengan PAS sudah terputus sejak tahun 2015 sehingga membawa kepada terkuburnya Pakatan Rakyat (PR).

Ia berpunca daripada pertelingkahan berpanjangan antara DAP dengan PAS terutamanya dalam perihal yang membabitkan undang-undang Islam seperti hudud.

Biarpun PH telah memutuskan perkara itu namun adakah keputusan tersebut dibuat secara konsensus?

Ini kerana umum mengetahui, PKR dan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu berunding dengan PAS bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Isu rundingan PKR-PAS timbul selepas tersebarnya gambar kunjungan Azmin bersama Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail terhadap Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Malah Wan Azizah juga pernah dilaporkan berkata tidak menolak kemungkinan jalinan kerjasama berikutan membawa misi yang sama dalam kalangan pembangkang iaitu menumbangkan UMNO-BN.

Pendirian pemimpin tertinggi PKR itu menyebabkan Ahli Parlimen Selayang, William Leong mengumumkan peletakan jawatannya daripada Biro Politik, ekoran tidak bersetuju dengan langkah tersebut.

Persoalannya, adakah Azmin akan tetap meneruskan rundingan kerjasama dengan PAS terutamanya di Selangor?

Jika Azmin meneruskan rundingan itu, adakah akan ada tentangan dari PH khususnya daripada DAP.

Misi Azmin kini adalah untuk memastikan PKR mendapat kerjasama PAS demi mengekalkan pemerintahan pembangkang di Selangor sekali gus beliau kekal sebagai Menteri Besar.

Adakah DAP akan membenarkan PKR meneruskan rundingan dengan PAS disebabkan faktor itu?

DAP juga pastinya mengetahui kewujudan PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan membantu kemenangan PH pada PRU-14 termasuk di Selangor.

Di pihak PAS pula, parti itu menegaskan perbincangan dengan PKR berhubung pembahagian kerusi dalam PRU-14 tidak akan berlaku biarpun Wan Azizah beria-ia mahu kembali duduk semeja.

Bagi PAS, perkara itu jelas selepas pihaknya memutuskan hubungan tahaluf siyasi dengan PKR pada Mei lalu.

Namun persoalannya, adakah PAS akan teguh dengan pendirian itu?

Adakah PAS boleh memastikan tiada pemimpinnya yang ingkar dengan arahan yang dibuat parti itu?

Mengimbas kerjasama PAS-PKR

PAS ditubuhkan pada 1951 oleh sekumpulan ulama yang bertujuan menegakkan syariat Allah­ di Malaysia.

PKR pula ditubuhkan pada 1999 akibat kemarahan selepas seorang pe­mimpin kanan negara di­pecat daripada jawatannya dalam parti dan kerajaan.

Atas dasar persahabatan, PAS bersedia mengorbankan kerusinya bagi membolehkan PKR bertanding dalam pilihan raya umum 1999. Kerjasama itu kekal sehinggalah Mei lalu.

Hasil kesepakatan tersebut, PKR berjaya memerintah Selangor manakala PAS pernah menguasai Kedah, Terengganu dan kekal berkuasa di Kelantan.

Tetapi perlu difahami ketiga-tiga negeri sememangnya PAS mempunyai pengaruh yang kuat manakala Selangor walaupun PKR menang banyak kerusi tetapi sebahagian besar adalah hasil sumbangan PAS.

Namun dari semasa ke semasa, persahabatan yang ter­jalin semakin pudar. Di Selangor, PKR semakin angkuh kerana mereka juga berkawan rapat dengan DAP. Biarpun PAS bersama-sama dalam pentadbiran kerajaan negeri namun suara parti itu acap kali ditenggelamkan dengan kesepakatan ampuh antara PKR dan DAP.

Semua orang tahu bagaimana PKR lebih banyak mendengar suara DAP. Bukan sahaja di Selangor malah di negeri-negeri lain. Kesudahannya PAS bagaikan terpinggir. Parti itu hanya dipergunakan ketika untuk berceramah dan berdemonstrasi sahaja, tetapi dalam soal tindakan atau langkah politik, PKR akan lebih merujuk kepada DAP.

Ketika perjuangan Islam PAS ditentang habis-habisan oleh DAP, PKR diam membisu. Kalaupun ada kenyataan dibuat, ia lebih banyak memihak kepada DAP. Dalam bahasa mudah, PKR lebih mementingkan DAP daripada PAS.

Nasib PAS dalam hubungan dengan PKR semakin buruk apabila terlahirnya PAN dan tertubuhnya PPBM.

PKR seolah-olah berpendapat mereka tidak lagi memerlukan PAS kerana bersama mereka ada PPBM dan PAN.

Apa yang lebih penting daripada itu, ketiga-tiga mereka berkongsi sentimen yang sama iaitu menghormati DAP sebagai ‘abang besar’ dalam PH.

Berikutan itulah apabila PAS bermati-matian memperjuangkan Rang Undang-undang 355 (RUU355), PKR tidak memberi sebarang komitmen.

PKR lebih selesa untuk mengikut rentak DAP yang dulu, kini dan selamanya tidak akan merestui perjuangan Islam PAS.

Jika mengimbas kembali kepada kerjasama PAS-PKR sebelum ini, adakah PAS akan memutuskan untuk sekali lagi bekerjasama dengan PKR?

Perkara itu tidak mustahil kerana dalam politik segalanya boleh berlaku.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pun boleh duduk semeja dengan ‘kepala’ DAP, Lim Kit Siang yang begitu ditentangnya sebelum ini.

Cuma apa diharapkan, PAS teguh dengan pendirian parti itu yang telah pun memutuskan tahaluf siyasi dengan PKR.

Namun menjelang PRU-14, pelbagai kemungkinan akan berlaku. Kerjasama pembangkang hanya kepalsuan demi memenuhi nafsu politik masing-masing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here