DENGAN hanya diperuntukkan sebanyak 27 buah kerusi parlimen oleh kepimpinan pusat Pakatan Harapan (PH), AMANAH wajar menyemak kembali apakah kehadiran dan kewujudan mereka dalam pakatan tersebut sememangnya betul-betul dihargai parti-parti komponen yang lain.

Mana tidaknya, jika hendak dibandingkan dengan PPBM, komponen PH yang paling bongsu, AMANAH tentulah lebih berhak untuk mendapatkan kerusi yang lebih banyak ataupun setidak-tidaknya sama dengan bilangan kerusi yang diperolehi PPBM. Tetapi, perbezaan bilangan kerusi antara kedua-dua parti yang paling baharu dalam politik di Semenanjung itu umpama langit dengan bumi. PPBM diberikan 52 kerusi parlimen sementara AMANAH kurang hampir separuh daripada jumlah tersebut.

Maka jauh di sudut hati, AMANAH tentu sekali berasa tidak selesa dan berpuas hati dengan jumlah pengagihan kerusi yang terang-terangan tidak adil itu. PPBM dan AMANAH sama-sama tidak pernah membuktikan apa-apa pun dalam mana-mana pilihan raya umum (PRU) sebelum ini, justeru mengapa pula PPBM diberikan keistimewaan yang tidak sedikit sedangkan AMANAH pula solah-olah dianaktirikan? Setelah berpatah arang dengan PAS, AMANAH tentu sahaja memiliki nafsu yang tidak kurang besarnya untuk bertanding pada PRU kelak.

Untuk menyedapkan hati, AMANAH sebelum ini berkata pengagihan kerusi seperti yang diputuskan PH itu adalah keputusan awal sahaja dan sebarang perubahan mengenai perkara itu masih boleh dilakukan. Maka diadakan perbincangan lanjut dengan kepimpinan PH lainnya untuk melihat sekiranya ada peluang untuk AMANAH mendapatkan sedikit lebih jumlah kerusi parlimen berbanding seperti yang telah diperuntukkan pada awalnya.

Harapan Menggunung Yang Berkecai

Ternyata usaha itu juga gagal. Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub juga sudah mengesahkan perkara itu apabila beliau menyatakan biarpun perbincangan AMANAH dengan parti komponen PH yang lain bagi mendapatkan lebih kerusi parlimen gagal, parti serpihan PAS itu dikatakan tetap komited untuk bersama-sama bekerja bagi menewaskan BN. Malah, untuk terus menyedapkan hati, AMANAH yakin bahawa mereka akan diberi peluang yang lebih baik untuk bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kesemua negeri terutamanya di Semenanjung.

Kegagalan AMANAH untuk mendapatkan kerusi yang lebih dalam pertarungan di peringkat Parlimen dan keengganan kepimpinan pusat PH melayan permintaan parti Islam yang “progresif” itu menandakan dan membuktikan bahawa kewujudan AMANAH dalam pakatan pembangkang tersebut seolah-olah hanya “mencukupkan syarat” dan “melengkapkan jadual”. Dalam keadaan baik PPBM, PKR mahupun DAP memperoleh jumlah kerusi yang jauh lebih banyak termasuklah di Sabah dan Sarawak, AMANAH kini dilihat tidak lebih daripada hanya sebuah parti “picisan”.

‘Sisa’ PAS Yang Terbuang

Terang lagi bersuluh bahawa parti dengan agenda Islam sememangnya sukar mendapat tempat dalam pakatan pembangkang, apatah lagi AMANAH dilihat sebagai parti yang paling kerdil kekuatannya biarpun mempunyai pemimpin yang pernah mempunyai pengaruh besar dalam politik tanahair. Presiden parti Mohamad Sabu dan Salahuddin sendiri dahulunya pernah gah ketika masih bersama-sama dengan PAS. Namun pengaruh kedua-duanya mula “menguncup” sebaik “ditendang” keluar daripada PAS.

Buktinya, sebagai Timbalan Presiden sebuah komponen PH, Salahuddin sendiri gagal mendapatkan kerusi Parlimen di Pontian untuk ditandingi beliau pada PRU kelak sedangkan itulah kawasan ‘tradisi’ beliau. AMANAH juga nampaknya begitu kecewa apabila tidak ada satu pun kerusi dalam kawasan Wilayah Persekutuan yang diberikan kepada mereka biarpun gerak kerja telah mereka usahakan dengan bersepadu di beberapa kawasan yang berkenaan khususnya Titiwangsa. Begitu juga di Perak di mana AMANAH hanya diberikan empat kerusi daripada 24 kerusi parlimen yang ada.

Kelegaan PAS, Keresahan AMANAH

Mengamati situasi malang yang menimpa AMANAH kini, maka PAS boleh menarik nafas lega setelah membuat keputusan yang tepat dalam meninggalkan pakatan yang jelas didominasi DAP itu. Keputusan parti Islam itu meninggalkan blok pembangkang tersebut lebih dua tahun yang lalu membolehkannya bertanding di 130 kerusi pada PRU kelak. Soal menang atau kalah, itu perkara kedua. Yang penting, PAS kini mempunyai kebebasan untuk bertanding di mana jua yang ia mahu.

Bagi AMANAH pula, mereka wajar “menepuk dahi” sendiri apabila kekuatan yang disangka ada pada mereka selama ini rupa-rupanya hanyalah ilusi. Ia tidak pun dipandang sebagai sebuah parti komponen PH yang mampu memberi saingan yang serius kepada BN, apatah lagi menandingi kemampuan PAS dalam menarik undi Melayu. Hakikatnya, AMANAH juga perlu menyedari bahawa ia sememangnya ketandusan calon boleh menang. Presidennya sendiri Mohamad Sabu juga bukanlah calon boleh menang, apatah lagi calon-calon lain daripada parti tersebut.

AMANAH juga bukanlah parti yang mempunyai jentera pilihan raya yang kuat. Pemimpinnya pula tidaklah ramai di mana-mana kawasan pun. Maka atas hakikat tersebut, kita tidak pelik untuk melihat parti itu seolah-olah “dibuli” komponen PH yang lain. Hubungan rapat Mohamad Sabu dengan Pengerusi PPBM Tun Dr. Mahathir yang dipertontonkan kepada umum selama ini nyata tidak memberi apa-apa manfaat pun untuk AMANAH. Buat masa ini, parti itu nampaknya akan terus menaruh harapan agar diberikan kerusi yang lebih banyak di peringkat DUN. Namun, persoalan mengenai sejauh mana hasrat itu akan tertunai, atau selama mana pula AMANAH akan terus dibuli komponen PH yang lain akan dinilai dengan penuh cakna oleh pemerhati politik dan rakyat terbanyak amnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here