Maraton Malaysia 2017 terpaksa dibatalkan berikutan kegagalan penganjur mencapai sasaran mendaftarkan sekurang-kurangnya 5,000 peserta dari China, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata kerajaan China melantik Wisdom Sports Group dan sekutunya dari Malaysia, Wisdom Sports (M) Sdn Bhd, sebagai penganjur Maraton Malaysia 2017, yang sebelum ini dikenali sebagai  ‘One Belt One Road Marathon’.

Menurutnya, memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Beijing, China Mei lepas, menyebut bahawa penganjur perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 5,000 peserta dari China untuk mengambil bahagian dalam acara itu.

“Bagaimanapun, Wisdom Sports Group dari China gagal memenuhi syarat itu. Apabila mereka tidak dapat mencapai jumlah tersebut, Wisdom Sports (M) Sdn Bhd berpendapat adalah lebih baik acara itu dibatalkan,” katanya pada sidang akhbar pada Khamis.

Pada Isnin, Wisdom Sports (M) Sdn Bhd menyiarkan dalam laman sesawang dan Facebooknya kenyataan bahawa maraton yang dijadual berlangsung pada 1 Oktober di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur itu dibatalkan kerana “keadaan di luar jangkaan yang boleh menjejaskan keseluruhan kualiti acara berkenaan”.

Dalam kenyataan itu, syarikat berkenaan juga berkata pihaknya akan mengembalikan yuran yang dibayar peserta dalam masa 30 hari berhubung pembatalan itu.

Syarikat itu meminta mereka yang telah mendaftarkan diri untuk menyertai acara itu supaya menghantar e-mel kepada pihaknya sekiranya mereka tidak menerima bayaran balik pada 15 Oktober.

— BERNAMA

 

SHARE
Previous articleKerajaan DAP Tidak Patuhi FOI
Next articleElderly Italian Man Having Sex with Boys, Jailed
Berketurunan Melayu Jawa tetapi tidak boleh berbahasa jawa. Merupakan seorang peminat masakan jawa lebih-lebih lagi tempe dan nasi pecel lele. Juga merupakan peminat tegar kepada pasukan bola sepak Barcelona FC. Visca El Barca!!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here