PADA 8 Mei 2017, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) di seluruh negara.

Gerakan sosial itu merupakan pemangkin dan tunjang perjuangan SPRM bersama rakyat dalam memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Sebanyak 2,000 tenaga kerja SPRM seluruh negara yang menjadi ejen penggerak kepada Gerah akan turun padang secara serentak dan berjumpa dengan masyarakat.

Langkah itu sekali gus mampu menjalinkan rangkaian kerjasama agar rakyat sentiasa bersama SPRM dalam perang menghapuskan jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Program ini diadakan serentak setiap bulan bagi mencetuskan satu perubahan yang agresif dan drastik dalam kalangan masyarakat dengan meletakkan rasuah sebagai musuh nombor satu negara.

Mengikut kamus bahasa Indonesia, ‘Gerah’ bermaksud berasa panas badan atau merasa tidak tenang kerana ada sesuatu yang mengganggu.

Melihat kepada tindakan SPRM dan ketegasan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad setakat ini sememangnya ramai orang berada dalam keadaan ‘kegerahan’.

Jadi, tidak hairanlah sejak kebelakangan ini, SPRM diserang dan sasaran serangan ditujukan khas kepada Dzulkifli melalui pembunuhan karakternya.

Apa tujuan taktik kotor itu dilakukan?

Mungkin ianya bertujuan mewujudkan kesangsian atau persepsi dalam kalangan rakyat terhadap peribadi dan kredibiliti Dzulkifli.

Ini kerana ramai pihak semakin ‘kegerahan’ berikutan tindakan agresif Dzulkifli yang memastikan SPRM bertindak tanpa memilih bulu.

Tidak kira ahli politik pemerintah mahupun pembangkang, semuanya tidak akan terlepas jika terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Begitulah juga tindakan ke atas anggota penguat kuasa dan orang tengah mereka seperti mana dalam kes judi haram di Melaka pada Mei lalu.

Sehubungan itu, walaupun sokongan rakyat terhadap SPRM semakin meningkat, namun ada pihak sudah melihat Dzulkifli sebagai ‘satu ancaman’ kerana beliau dianggap tidak boleh dikawal dan bebas dalam bertindak.

Tambahan pula Dzulkifli juga amat tegas dalam mempertahankan SPRM sehingga sanggup secara lantang mengkritik penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).

Dzulkifli turut me­ng­umumkan akan menggempur kegiatan judi haram kerana jenayah itu berlaku berpunca daripada sindiket sudah menguasai sesetengah anggota agensi penguat kuasa.

Ketegasan dalam bertindak dan kelantangan dalam mempertahankan SPRM telah memungkinkan Dzulkifli mula dijadikan sasaran untuk dijatuhkan.

Fakta dibentangkan oleh Dzulkifli pada 1 Oktober 2017 membuktikan selama ini jenayah itu cukup hebat berlaku.

Jumlah harta berkaitan rasuah dan penyelewengan kuasa sebanyak RM334.53 juta telah berjaya disita oleh SPRM sepanjang tempoh setahun antara Ogos tahun lalu hingga Ogos lepas.

Jumlah tersebut merupakan peningkatan berkali-kali ganda berbanding tempoh sama setahun sebelum itu iaitu hanya RM55.02 juta.

Bagi pertuduhan kes pula, sebanyak 405 kes telah dituduh di mahkamah dalam tempoh tersebut iaitu peningkatan sebanyak 32.83 peratus berbanding tempoh setahun sebelumnya.

Selain itu, bagi tempoh sama sebanyak 952 kertas siasatan telah dibuka iaitu peningkatan sebanyak 2.94 peratus berbanding tempoh setahun sebelumnya.

Pres­tasi inilah menyebabkan pihak yang terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa serta penyelewengan tidak dapat tidur lena kerana ‘kegerahan’ melihat ketegasan SPRM di bawah Dzulkif­li.

Oleh itu, mereka berpendapat sesuatu perlu dilakukan bagi merencatkan langkah Dzulkifli dan cara terbaik melalui pembunuhan karakter.

Terbaharu, SPRM membongkarkan penyelewengan dana di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dari 2009 sehingga 2015.

Siasatan awal mendapati kira-kira RM1.5 bilion peruntukan kerajaan diseleweng dalam tempoh tersebut.

SPRM membekukan sembilan akaun membabitkan wang berjumlah RM180 juta termasuk menahan tiga suspek yang dipercayai ada kaitan dengan seorang bekas menteri.

Kes terbaru SPRM ini bukan sahaja mengejutkan malah tidak boleh diterima kerana ia pengkhianatan besar ke atas dana awam, yang kalau berlaku di negara China, hukumannya sangat berat.

Melihat kepada ketegasan SPRM, buat pertama kali dalam sejarah negara, SPRM memberi impak besar dalam memerangi rasuah sejak suruhanjaya itu diterajui Dzulkifli tahun lalu.

Dzulkifli sendiri dilihat keras kepada perasuah menyebabkan beliau tidak disukai golongan tersebut namun disenangi rakyat akar umbi kerana itulah jeritan harapan mereka.

Inilah antara cabaran dalam melawan rasuah dan salah guna kuasa yang berdepan dengan kompleksiti di serata dunia yang sukar dijelaskan.

Sesiapa yang lantang dan bersungguh-sungguh menentang rasuah dan jenayah mudah terdedah kepada sasaran malah mudah pula menjadi mangsa.

Semoga Dzulkifli tabah menghadapi dugaan. Melangkahlah ke hadapan dan jangan pandang belakang.

Siapa yang bersalah, tunggu … SPRM akan menjemput di depan pintu.

Baca lagi: SPRM Tidak Bermotif Politik, Siasatan RM180 Juta

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here