Wednesday, July 26, 2017
Home News Entertainment Nazim Othman Gementar Tunggu Respon Netizen

Nazim Othman Gementar Tunggu Respon Netizen

155
0
nazim othman
Cover image via Sinar Harian

Hampir sebulan lagu Kerana Cinta nyanyian Nazim Othman berada di pasaran dalam usahanya memahat nama menjadi penyanyi walaupun lebih dikenali sebagai pelakon.

Baru sahaja dilancarkan secara digital pada 24 Mac lalu di sebalik keterujaan hakikatnya Nazim tidak mampu menyembunyikan perasaan gementar yang masih tersisa menyelubungi jiwa.

Meskipun menerima maklum balas positif pendengar, lelaki berusia 33 tahun ini bagaimanapun sukar untuk menghela nafas lega kerana masih terlalu awal untuk menilai sebarang jangkaan.

“Saya tidak mahu berasa terlalu selesa dengan keadaan ini. Malah saya lebih berhati-hati untuk memperbaiki kelemahan diri.

“Ini kerana rasa selesa yang berlebihan akan membuatkan saya lupa dengan kekurangan yang masih ada di sebalik sesuatu pencapaian,” katanya bercerita tentang sambutan karya nukilan tiga sekawan, Ezra Kong, Hael Husaini dan Mike Chan itu.

Selain dijual di platform maya iTunes, single Kerana Cinta juga boleh didengar di medium muzik digital seperti Apple Music, Spotify, JOOX, Yonder dan KKBox, di samping telah mula diputarkan oleh stesen radio tempatan.

Menurut bekas pramugara itu, detik paling menggembirakannya apabila dapat mendengar dengan telinga sendiri lagu tersebut dimainkan di corong-corong radio.

Mengimbas semula perjalanan karier nyanyiannya, Nazim sebelum ini pernah beberapa kali mengeluarkan single namun dia menyifatkan kesemua lagu tersebut gagal mendapat sambutan baik pendengar.

“Kali pertama saya merakamkan lagu adalah menerusi lagu runut bunyi drama lakonan saya iaitu Begitukah Cinta yang diberi judul Cinta.

“Jelas sekali, lagu itu langsung tidak memberi impak terhadap karier nyanyian yang saya impikan. Namun saya tidak berputus asa.

“Seterusnya sekali lagi saya diberi peluang menyanyikan lagu tema drama Dejavu Di Kinabalu berjudul Langit Cinta. Malangnya, nasib sama juga menimpa.

“Dan kali terakhir saya masuk studio adalah sewaktu merakamkan sebuah lagu pop bertajuk Destinasi, lengkap dengan klip video. Semua kos pembikinan saya tanggung sendiri.

“Namun ketika itu saya dapat rasakan genre tersebut tidak relevan dengan cita rasa muzik semasa lalu saya membatalkan hasrat untuk melancarkannya,” ujar pemilik nama sebenar Nushrul Alif Othman itu.

Biarpun rasa terkesan dengan kerugian yang dialami, Nazim menganggap perkara tersebut sebagai satu proses pembelajaran sekali gus mematangkan dirinya.

Sedar dirinya gagal membuat percaturan yang baik dalam membina nama di arena seni suara, aktor itu sedikit pun tidak patah semangat.

Mujur penyertaannya dalam program realiti nyanyian, Gempak Superstar pada tahun lalu membuka jalan lebih luas kepadanya.

“Tidak lama selepas menamatkan pertandingan itu, saya mendapat tawaran label Raksasa Records yang berminat bekerjasama dengan saya.

“Dan inilah hasilnya,” tambah Nazim.

Bukan ikut trend

Melihat seolah-olah menjadi trend apabila seorang pelakon bergelar penyanyi, Nazim menafikan dia cuba menjadi seperti itu.

Sebaliknya dia berhujah, keputusan merakamkan lagu terhasil atas dasar minatnya sejak kecil, bukan mengikut cara sesiapa.

“Kalau nak dibahaskan soal trend, saya terlebih dahulu menyanyi berbanding pelakon lain yang kini mencuba nasib dalam bidang nyanyian.

“Cuma usaha saya selama tidak membuahkan hasil sebab itu orang tak nampak,” jelasnya.

Tegasnya, impian yang dipasang sejak kecil itu tidak akan dipersia-sia begitu sahaja.

“Bagi kebanyakan orang, impian adalah sekadar angan-angan. Tetapi bagi saya, impian itu adalah cita-cita yang harus dicapai untuk dijadikan realiti,” katanya lagi.

Tambah Nazim yang baru-baru ini popular menerusi siri drama Lara Aishah, kerjaya nyanyian yang sedang dibentuknya dilihat tidak mengganggu karier lakonannya.

Dia percaya, jika seseorang artis itu bijak menyusun jadual kerjanya di samping komitmen kerja yang tidak berbelah bahagi, nescaya setiap kerja yang dilakukannya boleh disempurnakan.

“Semuanya terpulang kepada diri sendiri dalam menerapkan nilai disiplin yang tinggi,” bicaranya.

Baca lagi: Nazim Othman Nafi Rumahtangga Bergolak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here