Kerajaan mengumumkan cuti umum khas pada Isnin, 4 Sept ini. Ia diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak semasa berucap di malam penutup tirai temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017). Pengumuman itu disambut dengan sorakan yang menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Apa yang ditunggu?” kata perdana menteri beberapa kali.

“Cuti!” jawab orang ramai.

“Bukan senang nak bagi cuti sebab Malaysia dah ada terlalu banyak cuti, tapi kerana pencapaian kita yang luar biasa, sokongan rakyat berbilang kaum yang padu, pencapaian atlet kita yang cemerlang maka dengan ini bagi pihak kerajaan saya mengumumkan cuti umum pada 4 Sept,” katanya.

Sebenarnya pengumuman itu bukanlah terlalu mengejutkan kerana cakap-cakap mengenainya sudah kedengaran sejak beberapa hari lalu.

Malah semasa perdana menteri dijemput ke pentas untuk menyampaikan ucapan di penghujung acara, suasana di dalam stadium itu terus bergemuruh.

Malah beberapa kali beliau mengacah penonton, dan ia disambut dengan sorakan dan laungan “cuti!”.

Malaysia mencatat kejayaan membanggakan apabila mengumpul 145 pingat emas, 34 lebih banyak berbanding sasaran asal iaitu 111.

Pencapaian itu membolehkan Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan selepas kali terakhir melakukannya pada 2001.

Kejayaan itu menjadi lebih bermakna kerana negara meraikan sambutan hari kemerdekaan pada hari ini, sehari selepas KL2017 ditutup dengan rasminya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here