sabah

Pelantikan enam menteri dalam kabinet Pusat membuktikan kerajaan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak meminggirkan Sabah, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mereka adalah Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Menteri Sanis, Teknologi dan Inovasi Datuk Madius Tangau, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dua Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Rahman Dahlan dan Tan Sri Joseph Kurup.

“Semasa kepimpinan Najib, ramai wakil dari Sabah dilantik dalam kabinet pusat. Oleh itu, dakwaan parti pembangkang Sabah dipinggirkan oleh kerajaan pusat tidak benar sama sekali.

“Sepanjang kepimpinan Najib, beliau sentiasa mengutamakan Sabah termasuk dalam mengiktiraf peranan pemimpin negeri ini dan melaksanakan pembangunan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Silam di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Silam Datuk Mohd Yusof Afdal.

Ismail Sabri yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO  berkata Najib juga merupakan perdana menteri yang paling kerap berkunjung ke Sabah serta meluluskan peruntukan yang besar bagi melaksanakan pembangunan di negeri ini.

“Sebagai contoh, sebanyak 25 peratus daripada RM5 bilion peruntukan kementerian dalam bajet tahun ini adalah untuk Sabah.

“Sabah akan terus diberi keutamaan oleh kerajaan pusat khususnya dalam aspek pembangunan kerana kerajaan sedar masih ada kawasan di negeri ini memerlukan perhatian kerajaan,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta rakyat negeri ini supaya terus memberi sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional yang terbukti mempunyai rekod baik dan mampu melaksanakan pembangunan untuk Sabah.

Dalam pada itu, Ismail Sabri meminta semua anggota UMNO memperkukuh kesetiaan mereka kepada parti berbanding peribadi.

“Kesetiaan kepada parti merupakan faktor penting perjuangan UMNO terus bertahan hingga ke hari ini,” katanya sambil merujuk kepada kesetiaan Mohd Yusof kepada UMNO berbanding abangnya Datuk Seri Mohd Shafie Afdal yang juga bekas Naib Presiden parti.

Walaupun mengutamakan parti dalam perjuangan politiknya, beliau berkata ia tidak menjejaskan hubungan kekeluargaan Mohd Yusof dan Mohd Shafie.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here